Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Musim tengkujuh bermula di Malaysia, penduduk digesa bersiap siaga hadapi hujan lebat

Anggaran Waktu Membaca:
KUANTAN: Penduduk di Pahang diminta bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) atau lebih dikenali musim tengkujuh di Malaysia yang dijangka bermula Selasa (5 Nov) sehingga Mac tahun depan.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata sepanjang tempoh MTL, negeri tersebut seperti kebiasaannya akan berhadapan dengan bencana banjir. 

“Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama-sama agensi keselamatan yang lain sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana ini,” katanya dalam satu catatan yang dimuat naik di Facebook rasminya. 

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata dalam tempoh MTL, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku.

Beliau dipetik berkata semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Sementara pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
 
Sumber : Bernama/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan