Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Musim tengkujuh bermula di M'sia dengan 3 negeri sudahpun dilanda banjir

Hujan lebat serta angin kencang yang melanda beberapa negeri Malaysia sejak Isnin (21 Okt) mengakibatkan tiga negeri mula dilanda banjir. Pada Rabu (23 Okt), seorang wanita di ibu negara Kuala Lumpur maut akibat dihempap pokok tumbang.

Anggaran Waktu Membaca:
Musim tengkujuh bermula di M'sia dengan 3 negeri sudahpun dilanda banjir

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat membawa mangsa banjir kilat ke tempat yang selamat berikutan hujan lebat sejak pagi Rabu (23 Okt 2019) di Kampung Maju Jaya Pontian. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Oct 2019 11:17PM Dikemas Kini : 23 Oct 2019 11:30PM

KUALA LUMPUR: Hujan lebat serta angin kencang yang melanda beberapa negeri Malaysia sejak Isnin (21 Okt) mengakibatkan tiga negeri mula dilanda banjir. Pada Rabu (23 Okt), seorang wanita di ibu negara Kuala Lumpur maut akibat dihempap pokok tumbang.

Setakat ini, negeri-negeri yang terjejas sehingga menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ialah Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Hujan lebat berserta angin kencang itu, yang turut menyebabkan banjir kilat di sekitar Lembah Klang, menandakan bermulanya fenomena Monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, ketika dihubungi, menyatakan wanita berkenaan dihempap sebatang pokok ketika berjalan kaki di hadapan pintu masuk utama Universiti Malaya.

“Selain itu, kejadian pokok tumbang dalam ribut pada pukul 5.31 petang itu turut mengakibatkan kerosakan pada tiga kereta di kawasan terbabit,” menurut pusat tersebut.

Sehingga 4.00 petang pada Rabu, sejumlah 1,014 mangsa dari Johor, Perak dan Pulau Pinang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) khas untuk mangsa banjir apabila rumah mereka dinaiki air bah.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di dua daerah negeri itu meningkat kepada 596 orang pada petang Rabu, menjejaskan 132 keluarga berbanding 510 orang daripada 111 keluarga pada sebelah pagi hari.

(Gambar: BERNAMA)

Banjir di Kampung Melayu Batu 30 Bukit Panjang, Pontian. (Gambar: BERNAMA)

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata kesemua mangsa banjir di daerah Pontian serta Johor Bahru ditempatkan di enam PPS.

“Mereka adalah dari lima kampung di Pontian iaitu Kampung Parit Basilam, Kampung Maju Jaya, Kampung Melayu Batu 30 Bukit Panjang, Kampung Seri Bunian dan Kampung Jasa Sepakat serta satu di Johor Bahru iaitu Kampung Ulu Pulai,” kata Encik Tan dalam satu kenyataan.

Seramai 30 orang ditempatkan di Madrasah Parit Basilam, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bukit Panjang (98), Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai (77), SK Parit Haji Adnan (75) dan SK Sri Bunian (83) manakala di Gelang Patah pula, seramai 233 mangsa di tempatkan di SK Kampung Pulai.

Di Perak, jumlah terkini mangsa banjir di dua PPS turut meningkat dengan penambahan 75 lagi mangsa dari 17 keluarga di daerah Kerian. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 308 orang berbanding 299 orang pada pagi Rabu.

Sehingga petang Rabu, daerah yang terjejas banjir di negeri itu ialah Teluk Intan dan Kerian.

Di Pulau Pinang, cuaca yang cerah menyebabkan bilangan mangsa banjir berkurangan kepada 110 orang dari 35 keluarga pada sebelah petang. Bilangan mangsa lebih tinggi pada sebelah pagi iaitu seramai 143 orang dari 38 keluarga.

Kesemua mereka dari daerah Seberang Perai Tengah itu ditempatkan di Tadika Kemas Kampung Manggis dan Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.

Di Sarawak, SK RC Kubong, Limbang, terpaksa ditutup berikutan kawasan sekolah tersebut dinaiki air bah sedalam 0.91 meter akibat hujan lebat pada sebelah pagi Rabu. Ini menjejaskan 142 murid, 11 guru dan tiga kakitangan pentadbiran.

Sekolah Kebangsaan RC Kubong di Limbang, Sarawak, ditutup pada 23 Okt 2019 akibat banjir. (Gambar: BERNAMA)

SK RC Kubong, Limbang, di Sarawak ditutup akibat air bah yang pasang. (Gambar: BERNAMA)

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, pendalaman Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Bintulu dan Miri akan mengalami ribut petir di sekitar satu atau dua tempat pada Khamis (24 Okt).

Semua negeri di Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah serta Sarawak turut diramal mengalami ribut petir pada sebelah petang.

Monsun Timur Laut, dijangka bermula Khamis sehingga Mac 2020, ini akan menyebabkan empat hingga enam episod hujan lebat. Jika berterusan untuk tempoh beberapa hari, keadaan tersebut boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasanj rendah dan yang kerap dilanda banjir.

MetMalaysia juga tidak menolak kemungkinan risiko banjir boleh menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan