Musim perayaan Tahun Baharu Cina beri peluang calon Presiden dekati masyarakat Cina Indonesia
JAKARTA: Kawasan budaya Chinatown di Jakarta kini begitu semarak menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Perayaan ini, yang dikenali sebagai Imlek di Indonesia, merupakan antara sambutan terbesar bagi warga Indonesia berbangsa Cina, yang masih mengamalkan tradisi budaya nenek moyang.
Dahulu, perhiasan Tahun Baharu Cina tidak dibenarkan dijual atau diperlihatkan secara terbuka. Tetapi, itu semua berubah pada tahun 2000 apabila mantan presiden Allahyarham Abdurrahman Wahid atau Gus Dur memberikan kebebasan kepada rakyat Indonesia berketurunan Cina untuk meraikan Tahun Baharu Cina.
Masyarakat Cina di sana berharap agar pemimpin baharu Indonesia akan terus memperjuangkan kesaksamaan bagi golongan minoriti.
Encik Anwar Budiman, pengasas bagi Jawatankuasa Masyarakat Cina Indonesia berkata:
"Kesetaraan adalah tidak membeza-bezakan, baik masalah untuk perijinan atau pengurusan-pengurusan lain, dan kita tidak dibezakan untuk masalah identiti dan lain-lainnya. Kalau keseteraan itu sudah timbul, kami masyarakat Tionghua merasa memiliki juga bahawa sekarang pun, kami sudah lahir di Indonesia, kami bercampur dengan Indonesia. Bahkan saya sendiri sebagai pengurus jawatankuasa, kami sudah tidak boleh berbahasa Mandarin lagi."
Musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina turut memberi calon Presiden yang bertanding dalam pilihan raya ini peluang untuk mendekati masyarakat Cina sebagai sebahagian daripada kempen mereka.
Ini termasuk calon Presiden, Encik Anies Baswedan.
"Selesai pilihan raya, maka semua adalah warganegara Indonesia yang memiliki hak yang sama untuk mendapatkan pelayaran dari negara. Yang terpilih, merangkul semua, bekerja bersama dengan semua," ujar Encik Anies.
Pada 2017, Encik Anies dikatakan memanfaatkan politik identiti untuk memenangi pilihan raya gabenor Jakarta, mengatasi penyandangnya, Basuki Tjahaja Purnama, seorang bangsa Cina beragama Kristian.
Para pemerhati politik berkata politik identiti mungkin tidak menonjol dalam pilihan raya kali ini kerana ketiga-tiga pasangan calon disokong oleh tokoh-tokoh masyarakat Islam yang berwibawa dan berpengaruh.
Pada 2019, Prabowo Subianto juga dituduh menggunakan politik identiti ketika pilihan raya presiden menentang Encik Joko Widodo.
Ini selepas beliau cuba menarik sokongan golongan konservatif.
Politik identiti juga kurang menyerlah pada pilihan raya ini ekoran ketiadaan pertubuhan-pertubuhan Islam berfahaman tegar seperti Barisan Pembela Islam (FPI) yang dibubarkan pada 2020.
Diharapkan, keadaan ini kekal jika pilihan raya presiden terpaksa ke pusingan kedua.
2024 merupakan Tahun Naga - haiwan yang membawa tuah menurut zodiak Cina ini turut melambangkan kuasa, kekuatan dan nasib yang baik.
Para calon presiden dalam pilihan raya ini tentu berharap agar tuah turut menyebelahi mereka, dan kemenangan yang diraih adalah jelas dan mutlak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.