Musim Haji selesai dengan 1.7j umat menunaikannya; jemaah SG pulang ke tanah air bermula 1 Jun
Musim Haji 2026 diisytiharkan sebagai selesai dengan lebih 1.7 juta umat Islam kesemuanya menunaikan haji tahun ini.
Lebih 1.7 juta umat Islam menunaikan ibadah haji pada 2026. (Gambar: REUTERS/Ibraheem Abu Mustafa)
This audio is generated by an AI tool.
Sebahagian jemaah sudahpun melaksanakan tawaf selamat tinggal setelah selesai menyempurnakan semua rukun haji, dengan jemaah dari Singapura dan Indonesia misalnya dijadual berangkat pulang ke tanah air bermula Isnin (1 Jun) dari Jeddah.
Kumpulan pertama sekitar 300 jemaah haji Singapura dijangka mendarat di Changi pada petang Isnin.
Pihak berkuasa Arab Saudi menyatakan, sekitar 1.54 juta jemaah antarabangsa dan lebih 160,000 jemaah dalam negeri Saudi menunaikan haji kali ini.
Selepas menyelesaikan haji di Makkah, sebahagian jemaah haji kini akan menuju pula ke Madinah untuk melawat Masjid Nabawi dan tapak-tapak Islam yang lain.
Tiada sebarang kejadian besar mengganggu kelancaran perjalanan haji kali ini, dan operasi haji 2026 diisytiharkan sebagai sangat berjaya.
Ini meskipun adanya cabaran politik dan ekonomi di rantau Timur Tengah ekoran perang membabitkan Iran.
Kementerian Kesihatan Saudi mengumumkan, musim haji kali 2026 bebas dari sebarang penularan penyakit atau ancaman kesihatan.
Ini sedang munculnya ancaman kesihatan antarabangsa seperti virus hantavirus dan Ebola.
Tiada kes-kes sedemikian dikesan dalam kalangan jemaah haji.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menyatakan pihaknya sudah memulakan persiapan bagi musim haji akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.