Skip to main content

Dunia

Musim banjir bawa tuah rezeki kepada peniaga ubi; 500-700kg ubi terjual setiap hari!

Musim banjir membawa rezeki tambahan bagi seorang peniaga ubi apabila jualannya telah meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
DUNGUN: Musim banjir membawa rezeki tambahan bagi seorang peniaga ubi apabila jualannya telah meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini.

Annuar Al Shadat Kadi, 53 tahun, berkata ubi amat digemari ramai semasa musim banjir di Malaysia kerana ia mudah untuk dimasak, di samping menjadi sumber karbohidrat yang mengenyangkan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Nuar Durian berkata sejak banjir mulai melanda beberapa minggu lepas, beliau mampu menjual 500 hingga 700 kilogram ubi setiap hari.

"Setiap kali banjir, orang akan tertarik membeli ubi, mereka balik rumah dan masak ubi panas-panas, memang sangat sedap dan mengenyangkan, dan ubi menjadi makanan yang sangat popular ketika cuaca sejuk kerana ia mudah dimasak, sesuai dijadikan hidangan pemanas tubuh.

"Ia juga mudah disimpan khususnya bagi keluarga yang rumah mereka terkesan banjir," katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Jalan Bukit Besi, yang menawarkan pelbagai jenis buah-buahan dan ubi antaranya ubi kayu, ubi keledek, ubi yakun, dan ubi itik.

Beliau yang sudah mula berniaga sejak berumur enam tahun bagaimanapun berkata pada musim ini bekalan ubi sedikit terjejas kerana kesukaran untuk mendapatkan bekalan stok yang mencukupi.

Bagi seorang anggota polis Zainal Mohd Noah, 58 tahun, ubi merupakan antara makanan yang wajib dibeli setiap kali musim banjir kerana rasanya yang lazat dan boleh dijadikan pelbagai jenis hidangan mudah.

"Ubi ini kalau direbus dan makan dengan sambal bilis, parut kelapa dan gula pun sudah lazat. Setiap kali musim hujan atau banjir, memang saya akan beli untuk keluarga saya kerana ia berkhasiat," katanya.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita