Murid 8 tahun cedera parah dilanggar, diseret kereta sejauh 15 meter
Seorang murid cedera parah di bahagian kepala selepas dilanggar sebuah kereta ketika berada di dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Air Baruk Jasin semalam (4 Jan).
Gambar Hiasan (Gambar: BERITAMediacorp)
MELAKA: Seorang murid cedera parah di bahagian kepala selepas dilanggar sebuah kereta ketika berada di dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Air Baruk Jasin semalam (4 Jan).
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Arshad Abu berkata kanak-kanak lelaki itu, Mohammad Faris Zakwan Zainuddin, 8 tahun, diseret kira-kira sejauh 15 meter selepas dilanggar kereta tersebut yang dipandu oleh pekerja am sekolah terbabit pada sekitar jam 6.50 pagi.
Beliau berkata Mohammad Faris turut mengalami luka di tangan kiri dan kanan.
“Siasatan awal mendapati sebelum kemalangan berlaku, pemandu berusia 62 tahun itu dalam perjalanan keluar dari dataran perhimpunan sekolah itu sebelum melanggar dan menyeret murid berkenaan tanpa disedarinya.
“Kejadian itu hanya disedari seorang guru lelaki sekolah tersebut apabila beliau mendengar suara orang mengerang ketika kenderaan terbabit melaluinya sebelum mengarahkan pemandu menghentikan kereta,” kata DSP Arshad.
Beliau berkata guru berkenaan kemudian melakukan pemeriksaan di sekitar kereta berkenaan sebelum menemui murid tersebut di bawah kereta terbabit.
Katanya, Mohammad Faris dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Supt Mohd Sham Abdullah berkata ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah dinasihatkan tidak memandu kenderaan mereka masuk ke kawasan sekolah sebagai langkah keselamatan dan mengelak kemalangan.
“Ibu bapa hanya perlu menghantar anak mereka di luar pintu masuk sekolah dan kerjasama mereka perlu bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.