Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Murid 12 tahun maut disambar petir ketika guna telefon bimbit

Anggaran Waktu Membaca:

GUA MUSANG: Seorang murid perempuan maut selepas dipercayai disambar petir ketika sedang berbual menggunakan telefon bimbit dengan rakannya di Kampung Baru Sungai Raya Luar di Gua Musang, Kelantan pada Isnin (15 Ogos), lapor Astro AWANI. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa, Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi, 12 tahun, yang merupakan murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, ditemui terbaring di atas tilam bilik tidurnya dengan kesan terbakar di bahagian lengan.

Menurut bapa mangsa, M. Nor Zawawi Awang, ketika kejadian, beliau baru saja selesai solat Asar di surau hadapan rumahnya sebelum terdengar bunyi dentuman petir yang kuat.

Katanya, ketika kejadian turut berlaku hujan renyai.

"Selepas solat asar bekalan elektrik terputus di rumah.

"Saya kembali ke surau dan isteri panggil balik, anak dalam bilik tak sedarkan diri dan saya tengok dia pengsan, ada sedikit kesan terbakar dekat lengan.

"Saya pun terus bawa ke klinik Kuala Betis dan disahkan meninggal dunia," katanya kepada Astro AWANI. 

Jelasnya, mayat anaknya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kuala Betis.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan