Murid 10 tahun jadi mangsa buli di Johor; Menteri Pendidikan Malaysia ikrar siasatan segera dijalankan

Dalam insiden terbaru pada awal Ogos 2025, Izzul Islam Azuan berusia 10 tahun dilaporkan dipukul di kepala dan memerlukan rawatan hospital. (Gambar: Siti Suhana Misdi)
"Saya mengambil serius insiden buli yang melibatkan seorang pelajar di Johor yang dilaporkan oleh media ... Kes ini mesti disiasat dengan segera supaya tindakan sewajarnya boleh diambil," kata Cik Fadhlina dalam catatan Facebook pada Isnin (18 Ogos).
"Tiada tolak ansur terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan."
Pada hujung minggu lalu, ibu pelajar tersebut, Siti Suhana Misdi, 39 tahun mendakwa dalam catatan Facebook bahawa anak lelakinya - Izzul Islam Azuan - dibuli sebanyak dua kali dalam kejadian berasingan tahun ini.
Serangan terkini berlaku pada awal bulan ini pada 7 Ogos lalu di sekolah, manakala insiden sebelumnya dilaporkan berlaku pada Februari lalu di sebuah sekolah agama.
Ia tidak jelas sama ada Cik Fadhlina merujuk kepada kedua-dua kes tersebut, atau insiden yang dilaporkan berlaku pada Ogos.
"Kami berharap tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terlibat untuk mengelakkan sebarang kemudaratan atau komplikasi selanjutnya," kata Cik Suhana kepada Mediacorp pada Isnin (18 Ogos).
"Dia pengsan pagi ini dan bukan seperti dirinya. Dia masih dalam kesakitan dan masih pulih daripada insiden yang berlaku pada 7 Ogos lalu," katanya apabila ditanya mengenai keadaan Izzul, sambil menambah dua aduan polis sudah pun dibuat mengenai insiden berasingan itu - dengan terkini difailkan pada 14 Ogos lalu di Balai Polis Taman Universiti di Skudai.
Menurut laporan New Straits Times, Izzul menghidap karsinoma kistik adenoid (ACC) - sejenis barah yang jarang berlaku yang berkembang dalam tisu kelenjar - selama tempoh dua tahun yang lalu.
Dalam kejadian pertama, Cik Suhana mendakwa tindakan buli itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas kakak Izzul menolak cinta pelaku yang berusia 12 tahun itu, yang menaruh hati terhadapnya.
"Insiden itu berlaku sekitar pukul 5.00 petang apabila anak saya dipukul, ditendang dan kepalanya dihentak berkali-kali dan dia dipaksa menanggalkan pakaiannya ... dia sering mengadu sakit kepala dan menjadi lemah secara fizikal," kata Cik Suhana seperti dinukil laporan Sinar Harian.
Beliau menambah doktor mengesahkan Izzul mengalami gegaran otak dan perlu menjalani rawatan intensif di sebuah hospital swasta pada 12 hingga 26 Mac.
Cik Suhana berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai insiden itu selepas diberitahu oleh anak perempuannya pada 24 Mac, kerana bimbang mengenai keadaan adiknya yang semakin parah.
Menurut laporan Sinar Harian, apabila beliau membuat laporan mengenai kejadian yang berlaku pada Februari itu, beliau dimaklumkan bahawa kes itu dianggap tidak sesuai untuk dilakukan siasatan dan satu-satunya tindakan yang akan diambil adalah pertemuan antara kedua-dua keluarga.
Bernama sementara itu melaporkan tiada tindakan diambil terhadap pelaku yang berusia 12 tahun itu kerana beliau bawah umur.
"Kesan terhadap anak lelaki saya adalah parah. Beliau tidak lagi memberi tumpuan terhadap pelajaran atau mengambil bahagian dalam sukan dan doktor juga memaklumkan kepada kami bahawa proses penyembuhan boleh mengambil masa sehingga tiga tahun dan beliau berisiko mengalami sawan jika beliau terjatuh atau pengsan," kata Cik Suhana.
Dalam satu lagi kejadian yang didakwa berlaku pada bulan ini, Cik Suhana mendakwa Izzul dibuli oleh seorang rakan sekelasnya.
Budak lelaki itu dilaporkan memukul kepalanya dan beliau perlu dimasukkan ke hospital, menurut laporan New Straits Times.
"Saya tidak tahu mengapa beliau menjadi sasaran. Mungkin kerana beliau kelihatan lemah akibat penyakitnya. Beliau sudah pulih 80 peratus daripada barah namun beliau kini perlu melawan pembuli," kata Cik Suhana sambil menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan kerana bimbang kitaran penderaan itu mungkin berterusan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin mengesahkan perkara itu sedang disiasat.
'BUDAYA MESTI DIHENTIKAN'
Kementerian Pendidikan Malaysia hangat diperbualkan baru-baru ini menyusuli kemarahan orang awam berhubung kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir yang ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat ketiga bangunan dormitori sekolahnya di Sabah pada 16 Julai lalu.
Jenazahnya kemudian digali semula untuk bedah siasat berikutan dakwaan buli sedang beribu-ribu orang menuntut siasatan telus dijalankan terhadap kesnya melalui tanda pagar #JusticeforZara.
Pejabat Peguam Negara Malaysia berkata pada Isnin bahawa ia memutuskan untuk mendakwa beberapa orang berkaitan dengan dakwaan kes buli Zara, tanpa memberikan butiran lanjut.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan kematian mana-mana mangsa buli sebagai bahan politik, dengan memetik kes Zara sebagai contoh.
Menurut agensi berita negara, Encik Anwar tidak menolak kemungkinan terdapat kelemahan dari segi pengurusan kes kematian Zara, termasuk proses penyiasatan dan beberapa kelewatan, tetapi beliau menekankan bahawa pihak berkuasa sedang menangani perkara itu sebaik mungkin.
Mengulas mengenai buli, Encik Anwar menekankan bahawa budaya itu mesti dihapuskan sepenuhnya.
"Buli adalah penderaan psikologi dan fizikal, sama ada di sekolah, universiti, pejabat atau kementerian kesihatan. Budaya ini mesti dihentikan kerana ia adalah satu bentuk penghinaan yang memalukan seseorang," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.