Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mural gergasi potret pemimpin M'sia diconteng

Mural gergasi beberapa potret pemimpin negara pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, diconteng pihak tidak bertanggungjawab dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah dalam kejadian yang dikesan hari ini (20 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Mural gergasi potret pemimpin M'sia diconteng

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 20 Jul 2020 07:18PM Dikemas Kini : 20 Jul 2020 07:22PM

SHAH ALAM: Amat memalukan. Mural gergasi beberapa potret pemimpin negara pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, diconteng pihak tidak bertanggungjawab dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah dalam kejadian yang dikesan hari ini (20 Jul).

Bernama difahamkan kejadian vandalisme tersebut disedari seorang pekerja restoran di kawasan berkenaan yang kebetulan melalui lokasi mural itu kira-kira pukul 8.00 pagi tadi.

Pemerhatian Bernama mendapati vandalisme itu mungkin dilakukan dalam tempoh malam tadi memandangkan mural tersebut berada dalam keadaan baik semasa kunjungan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Encik Ismail Sabri Yaakob yang datang untuk melihat sendiri potretnya petang semalam.

Seorang daripada tiga pelukis mural tersebut, Encik Muhamad Firdaus Nordin, 26, menyifatkan insiden itu sebagai usaha mensabotaj karya seni mereka yang mengekspresikan penghargaan kepada pemimpin negara menerusi lukisan.

“Ini perbuatan keji dan dengki. Kami berasa amat terkilan terhadap kejadian ini. Berdasarkan pengamatan saya, contengan tersebut dilakukan menggunakan penyembur warna," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi mural itu hari ini.

Encik Muhamad Firdaus berkata beliau secara peribadi tidak menolak kemungkinan perbuatan tersebut dilakukan pihak tertentu atas motif politik susulan terdapat komen-komen negatif menerusi media sosial semalam.

Menyusuli perbuatan itu yang merosakkan kesemua mural termasuk potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam terpaksa mengecat semula dinding tersebut dengan warna putih, sekali gus memadamkan kesemua potret.

Selain potret Yang di-Pertuan Agong, wajah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri, serta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut menghiasi dinding berkenaan.

Turut diabadikan pada dinding berlainan ialah potret pelawak tanah air Abam Bocey dan Yus Jambu.

Pada 10 Julai lepas, Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli menyaksikan sendiri mural gergasi potret baginda pada bangunan berkenaan sebagai menghargai usaha murni golongan belia. Ini disusuli dengan kunjungan Dr Noor Hisham beberapa hari kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan kejadian vandalisme tersebut dan siasatan akan dijalankan pihaknya bagi menjejaki pelaku.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan