Skip to main content

Dunia

AS mungkin tidak perlukan vaksin AstraZeneca, kata Dr Anthony Fauci

AS mungkin tidak perlukan vaksin AstraZeneca, kata Dr Anthony Fauci.

Anggaran Waktu Membaca:
AS mungkin tidak perlukan vaksin AstraZeneca, kata Dr Anthony Fauci

Encik Anthony Fauci. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Apr 2021 01:15PM Dikemas Kini : 02 Apr 2021 01:22PM

CHICAGO: Amerika Syarikat mungkin tidak memerlukan vaksin COVID-19 AstraZeneca, sekalipun ia mendapat kelulusan pengawal selia Amerika, kata Anthony Fauci, pakar penyakit berjangkit terkemuka negara itu kepada Reuters pada Khamis (1 Apr).

Vaksin itu, yang sebelum ini dilihat sebagai satu lagi usaha dalam memerangi pandemik COVID-19, dibelenggu pelbagai persoalan sejak hujung tahun lalu, meskipun ia sudah diluluskan untuk penggunaan oleh puluhan negara, tidak termasuk Amerika Syarikat.

Dr Fauci, pengarah Institut Nasional bagi Alahan dan Penyakit Berjangkit dan juga ketua penasihat perubatan kepada Rumah Putih, berkata Amerika Syarikat sudah mempunyai kontrak-kontrak mencukupi dengan para pembuat vaksin lain untuk seluruh penduduknya dan mungkin juga mencukupi bagi suntikan penguat.

Ditanya sama ada Amerika Syarikat akan menggunakan dos-dos vaksin AstraZeneca, beliau berkata, "Ia belum ditentukan. Jangkaan saya umumnya adalah, memandangkan hubungan kontrak yang kami ada dengan sejumlah syarikat, kami mempunyai vaksin mencukupi untuk memenuhi semua keperluan kami tanpa menggunakan AstraZeneca."

Pada hujung tahun lalum penghasil ubat-ubatan itu dan Universiti Oxford menerbitkan data daripada ujian lebih awal dengan dua bacaan keberkesanan berbeza akibat kesilapan dos.

Kemudian dalam bulan Mac, lebih 12 negara menggantung sementara penggunaan vaksin AstraZeneca selepas laporan-laporan mengaitkannya kepada masalah darah beku yang jarang berlaku.

Juga dalam bulan Mac, agensi kesihatan Amerika menyatakan data daripada syarikat itu tidak memberikan gambaran penuh keberkesanannya.

Beberapa hari kemudian, AstraZeneca mengeluarkan keputusan menunjukkan tahap keberkesanan lebih rendah tetapi masih kuat.

Dr Fauci berkata "jika anda melihat jumlah dos yang kami akan perolehi, jumlah yang anda boleh dapat daripada J&J, daripada Novavax daripada Moderna jika kami menempah lebih, mungkin kami dapat menangani sebarang (suntikan) penguat yang kami perlukan tetapi saya tidak boleh memberi kepastian." 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita