Mungkin Mahathir tak faham dasar Johor, kata Menteri Besar
Kerajaan Johor menerusi jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan pusat berkaitan isu pemilikan hartanah warga asing akan menerangkan secara terperinci berhubung dasar negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Osman Sapian.
![Mungkin Mahathir tak faham dasar Johor, kata Menteri Besar Mungkin Mahathir tak faham dasar Johor, kata Menteri Besar](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--YuOj6k1b--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/berita-migration/osman-sapian-1_0.png?itok=_Vqf7Sfv)
Encik Osman Sapian. (Gambar: Facebook/Osman Sapian)
MALAYSIA: Kerajaan Johor menerusi jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan pusat berkaitan isu pemilikan hartanah warga asing akan menerangkan secara terperinci berhubung dasar negeri itu, kata Menteri Besar Osman Sapian.
Katanya, beliau kelmarin menghadiri perbincangan yang dianggotai semua menteri dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang kemudian memutuskan penubuhan jawatankuasa khas diketuai menteri perumahan Cik Zuraida Kamaruddin.
“Kita akan berbincang dengan jawatankuasa (isu pemilikan hartanah) dan buat masa ini akan menjelaskan kenyataan dikeluarkan Yang Amat Berhormat (Dr Mahathir) (berkaitan larangan warga asing membeli hartanah Forest City) dengan menerangkan dasar dilaksanakan di Johor mengenai perkara itu.
“Mungkin (Dr Mahathir) sendiri tidak faham sebab dalam kawasan IRDA (Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar) dibuat ketika itu Dr Mahathir tiada, kerana pada masa itu Pak Lah (Encik Abdullah Ahmad Badawi).
“Benda ini ada kaitan dan Dr Mahathir mungkin tidak dapat maklum balas jelas dan kerajaan negeri akan melaporkan dasar sedia ada yang dilaksanakan,” beliau ditukil berkata demikian oleh Berita Harian.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas menyempurnakan perasmian pecah tanah pembinaan laluan persimpangan jalan raya di Gerbang Nusajaya di Iskandar Puteri, hari ini (30 Ogos).
Dr Mahathir Isnin lalu (27 Ogos) berjanji menghalang warga asing membeli hartanah di Forest City dengan mendakwa ia “dibina untuk orang asing” kerana rakyat Malaysia tidak mampu membelinya.
Forest City dibina syarikat China, Country Garden Holdings Company dengan usaha sama Sultan Johor, bandar itu dirancang seluas 13.86 kilometer persegi di atas pulau buatan.
Pemaju menjangkakan penduduk seramai 700,000 orang menjelang 2035, tetapi hartanah itu kebanyakan dipasarkan untuk warga asing.
Menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu, Dr Mahathir berulang kali mengkritik perdana menteri ketika itu Encik Najib Razak kerana membenarkan pembinaan projek tersebut, dengan berkata ia akan mengubah demografi penduduk Johor.
Sementara itu, Encik Osman berkata kerajaan Johor sentiasa mengalu-alukan kedatangan warga asing untuk melabur dengan membeli hartanah di negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, pada masa sama kerajaan negeri tidak mengetepikan permintaan dan kehendak rakyat tempatan yang mahukan kediaman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.