Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muncul pasaran gelap bagi minyak di tengah-tengah krisis bekalan Sri Lanka

Anggaran Waktu Membaca:
Muncul pasaran gelap bagi minyak di tengah-tengah krisis bekalan Sri Lanka

Gambar: AFP/Prakash Singh

Diterbitkan : 03 Aug 2022 05:14PM Dikemas Kini : 03 Aug 2022 05:16PM
COLOMBO: Jutaan warga Sri Lanka sedang bergelut di tengah-tengah krisis ekonomi terburuk dalam sejarah negara itu.

Tabung negara semakin kekurangan pertukaran matawang asing dan tiada wang yang cukup untuk mengimport keperluan seperti minyak.

"Kami terpaksa menunggu tiga hingga empat hari untuk mendapat petrol dan kami hanya boleh mendapatkan minyak bernilai 2,500 rupee (S$44) pada satu-satu masa. Itu tidak cukup. Jadi, sebilangan orang akan mengeluarkan petrol daripada kenderaan mereka dan menjualnya pada harga yang lebih tinggi. Saya juga sudah mula buat demikian," kata seorang pemandu tuk-tuk, Akshant, yang terlibat dalam pasaran gelap tersebut secara sambilan.

Negara kepulauan dengan 22 juta orang itu secara rasmi tidak dapat melunaskan hutang setelah gagal membayar bunga hutangnya pada bulan Mei. Keruntuhan ekonominya menjejas beberapa aspek kehidupan dengan kos kehidupan melambung dan berlaku kekurangan minyak dan ubat-ubatan.

Menurut Menteri Kuasa dan Tenaga Sri Lanka, Kanchana Wijesekera, import petrol akan dihadkan bagi 12 bulan atas datang.

Namun, bagi mereka seperti Akshant, kenaikan inflasi dan kekurangan petrol membawa kepada peluang menjana ekonomi. Pelanggannya adalah orang tempatan yang mempunyai wang yang mencukupi tetapi tiada masa untuk menunggu dalam barisan. Mereka sanggup membayar lebih banyak untuk mendapatkan petrol daripada menghabiskan masa berhari-hari untuk beratur dan tidur di jalanan.

Perdagangan minyak secara haram berleluasa di ibu kota komersial Colombo dan bahagian lain negara itu, di mana komoditi diedar menerusi sistem pencatuan.

BAGAIMANA SISTEM PENCATUAN DAN PASARAN GELAP DIJALANKAN

Semua pemandu perlu mendaftarkan kenderaan mereka dengan pemerintah untuk mendapatkan Pas Petrol Nasional.

Sejurus selepas ia diluluskan, setiap kenderaan akan diberi kod QR tertentu untuk digunakan untuk membeli petrol di stesen minyak.

Setiap kod QR dilengkapi dengan kuota mingguan bagi minyak dan jumlahnya berbeza mengikut jenis kenderaan. Pemandu tuk tuk, misalnya, boleh mengisi tangki mereka sehingga lima liter petrol seminggu. Pemandu yang mempunyai kenderaan besar diberi kuota yang lebih besar.

"Sistem QR diperkenalkan sejak permintaan bagi harian bagi minyak tidak dapat dipenuhi," tulis Encik Wijesekera di Twitter pada minggu lalu.

Meski terdapat sistem pencatuan, barisan beratur yang panjang masih kelihatan di luar stesen minyak.

"Kadangkala, tiada minyak. Oleh itu, kami perlu menunggu dalam barisan sehingga ia datang. Ia boleh mengambil masa sehari, dua hari ataupun tiga hari. Semasa itu, kita perlu duduk di dalam kereta, makan makanan kami di dalam kereta dan menunggu," kata pemandu van pelancong, Frank Joseph Alvis.

Seperti kebanyakkan pemandu di Sri Lanka, beliau tidak mampu membeli minyak yang mahal daripada pasaran gelap dan perlu beratur setiap minggu.

Pada Isnin (1 Ogos), sistem kod QR dikuatkuasakan di kesemua stesen minyak di seluruh negara. Para pengendali digalakkan untuk memastikan bahawa plat nombor setiap kenderaan sepadan dengan apa yang tertera pada Pas Minyak Nasionalnya.

"Pengedaran minyak akan diutamakan bagi stesen minyak yang menggunakan sistem QR. Sistem ini akan diteliti untuk memeriksa bilanggan pengguna kod QR dari bekalan yang diedarkan ke stesen minyak," jelas Encik Wijesekera dalam satu kenyataan pada Sabtu, 30 Julai.

PIHAK BERKUASA BANTERAS PASARAN GELAP

Pemerintah sedia maklum mengenai perdagangan minyak secara haram dan berusaha untuk membanterasnya.

Menurut Encik Wijesekera, pesalah berulang akan menyebabkan kod QR mereka digantung dan berdepan tindakan undang-undang.

Meskipun banyak stesen minyak meletakkan papan tanda untuk tidak menggalakkan penyelewengan, masih terdapat sebilangan orang yang mencari jalan untuk terus mengendalikan perdagangan sedemikian.

"Pemilik stesen minyak tidak tahu tentang perniagaan wang tambahan. Ia adalah di antara kakitangan dengan para pemandu", ujar Akshant.
Sumber : CNA/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa