Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muktamar Islam kecam tindakan berterusan Israel ceroboh Masjid Al-Aqsa

Perkara itu dinyatakan dalam ucapan Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha, ketika mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif pertubuhan tersebut diadakan secara maya. 

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Muktamar Islam (OIC) pada Isnin (25 Apr) mengecam dan menolak segala tindakan pencerobohan tentera Israel ke atas Masjid Al-Aqsa.

Perkara itu dinyatakan dalam ucapan Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha, ketika mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif pertubuhan tersebut diadakan secara maya. 

Mesyuarat tergempar itu diadakan atas permintaan Indonesia untuk membincangkan kekasaran tentera Israel yang semakin melampau sejak kebelakangan ini terhadap umat Islam Palestin di masjid suci tersebut.

Encik Hissein berkata bumi Palestin secara amnya dan kota Baitulmakdis khususnya baru-baru ini menyaksikan peningkatan serangan serta pencerobohan oleh tentera Israel yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas tapak suci Islam dan Kristian, terutamanya Masjid Al-Aqsa.

“Saya telah bercakap dengan beberapa pihak antarabangsa dan memaklumkan kepada mereka tentang penolakan dan kecaman OIC terhadap percubaan Israel yang memaksa pembahagian ruang dan waktu dalam kawasan Masjid Al-Aqsa untuk rakyatnya.

“Kami sekali lagi menyeru kepada semua pihak dan pertubuhan antarabangsa untuk memikul tanggungjawab mereka dan terlibat dalam usaha yang membawa kepada pengakhiran pencerobohan Israel serta mewujudkan penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Kami juga ingin menekankan keperluan dan kepentingan dalam memelihara sejarah serta undang-undang yang wujud di Masjid Al-Aqsa kerana ia adalah tempat ibadat suci khusus untuk umat Islam”, tegas beliau.

Setakat ini, seramai 200 rakyat Palestin cedera di pekarangan Masjid Al-Aqsa ketika pertempuran tercetus dengan tentera Israel sejak beberapa minggu lalu.

Tapak suci yang menjadi pertikaian antara kedua-dua agama itu dikenali sebagai pekarangan Masjid Al-Aqsa untuk umat Islam dan Temple Mount (Al Haram Al Sharif) bagi Yahudi. Ia terletak di Kota Lama Baitulmakdis dan diilhakkan Israel ketika perang Timur Tengah 1967. 

Tapak itu ditadbir oleh Wakaf Muslim Jordan tetapi dilindungi oleh pasukan polis Israel.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan