Skip to main content

Dunia

Mukhriz gesa Sanusi segera lapor pemindahan dana RM13 juta Perbadanan Menteri Besar Kedah

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md. Nor disaran agar segera membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai pemindahan wang berjumlah RM13 juta (S$4.2 juta) milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) jika dirasakan wujud unsur salah guna kuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Mukhriz gesa Sanusi segera lapor pemindahan dana RM13 juta Perbadanan Menteri Besar Kedah

Mukhriz Mahathir. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 28 Sep 2021 03:11PM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 03:13PM

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md. Nor disaran agar segera membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai pemindahan wang berjumlah RM13 juta (S$4.2 juta) milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) jika dirasakan wujud unsur salah guna kuasa.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Encik Mukhriz Mahathir, sebagai sebuah entiti yang ditubuhkan untuk membawa pelaburan dan keuntungan kepada negeri Kedah, sudah tentu akan wujud aliran keluar masuk dana dari MBI.

Bagaimanapun, Encik Mukhriz berkata, kenyataan yang dibuat Encik Muhammad Sanusi dalam sidang media secara maya pada 21 dan 22 September lalu mengenai aliran keluar masuk dana itu jelas tidak konsisten dan bercanggah, lapor Astro Awani.

“Pada 21 September 2021 beliau menyebut wang itu dipindah ke Kanada tetapi menafikan pula perkara itu dalam sidang media pada 22 September 2021. Kesilapan atau salah kata begini bukanlah suatu yang asing bagi Menteri Besar Kedah itu,” kata bekas Menteri Besar Kedah itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa (28 Sep).

Encik Muhammad Sanusi pada 21 September lalu mendakwa, terdapat rekod membuktikan berlaku pemindahan wang milik MBI Kedah sebanyak RM13 juta yang dimasukkan ke akaun bank di luar negara.

Menurut Encik Muhammad Sanusi, urus niaga itu berlaku ketika Encik Mukhriz menerajui kerajaan negeri.

Kata beliau, pemindahan wang tersebut dilakukan ke akaun bank yang berpangkalan di Kanada.

Pada masa yang sama, Encik Mukhriz menegaskan, tindakan Encik Muhammad Sanusi ‘menayangkan’ dokumen-dokumen dalam sidang media secara maya tempoh hari tidak sepatutnya berlaku memandangkan Menteri Besar Kedah itu seharusnya menyerahkannya kepada pihak berkuasa bagi tujuan siasatan.

Dokumen-dokumen berkenaan, jelas Encik Mukhriz, dipercayai berhubung pelaburan oleh MBI dalam sebuah syarikat bioteknologi yang ketika itu terlibat dalam kajian dan pembangunan rawatan barah, lapor Astro Awani.

Encik Mukhriz juga menjelaskan, sebarang keputusan yang dibuat oleh MBI sudah semestinya mengambil kira kepentingan terbaik rakyat negeri Kedah untuk jangka masa panjang.

Bahkan, kata Encik Mukhriz, pada keseluruhannya, pelaburan-pelaburan MBI disasarkan untuk industri berkualiti tinggi, berdaya maju dan berpotensi besar untuk mencatat keuntungan.

“Saya sama sekali tidak memperolehi sebarang keuntungan peribadi dari apa sahaja keputusan MBI.

“Saya sentiasa bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Saya sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mahupun salah guna kuasa, jikalaupun ia wujud.

“Saya amat yakin tiada unsur-unsur tersebut dalam urus niaga MBI ketika saya berjawatan Menteri Besar Kedah,” tegas Encik Mukhriz lagi.

Dalam kenyataan itu juga, Encik Mukhriz menyatakan keyakinannya bahawa kenyataan yang dikeluarkan Encik Muhammad Sanusi itu bertujuan mencemarkan nama baik dan imej beliau tanpa membuat tuduhan khusus yang boleh mengundang tindakan saman.

“Saya tekankan di sini bahawa sebarang kenyataan daripada Menteri Besar Kedah bukanlah bersifat pendapat atau pandangan peribadi.

“Sebaliknya, Menteri Besar Kedah harus lebih bijak dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dengan usul periksa terlebih dahulu kerana kenyataan beliau membawa imej pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dalam apa jua hal dan keadaan,” tegas Encik Mukhriz lagi.

Sehubungan itu, Encik Mukhriz memberi peringatan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah sewajarnya jika Menteri Besar Kedah itu berterusan membuat onar dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita