Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin Yassin tidak hormati nasihat Majlis Raja-Raja untuk tidak politikkan isu kalimah Allah, kata Menteri Dalam Negeri M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Muhyiddin Yassin tidak hormati nasihat Majlis Raja-Raja untuk tidak politikkan isu kalimah Allah, kata Menteri Dalam Negeri M'sia

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail. (Gambar: Bernama)

ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail kesal dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin yang masih menyentuh isu 3R (agama, bangsa, raja) dalam ceramah pilihan raya di Kapar, Klang, pada malam Ahad (30 Jul).

Beliau berkata, kedegilan pemimpin politik itu berterusan memainkan isu berkenaan disifatkan tidak menghormati nasihat Majlis Raja-Raja Melayu yang mahu isu kalimah Allah tidak lagi dipolitikkan.

Menurutnya, sikap Encik Muhyiddin yang masih memainkan sentimen keagamaan biarpun dinasihati Majlis Raja-Raja menunjukkan pemimpin itu sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan kelangsungan politik, lapor agensi berita Sinar Harian.
 
“Kabinet telah buat keputusan, kita akan angkat beberapa cadangan untuk adakan satu arahan pentadbiran baharu dikemukakan kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) dipengerusikan Sultan Selangor.

“MKI kemudian bentangkan kepada mesyuarat Majlis Raja-Raja akan datang. Sehingga tempoh itu, tidak dibenarkan lagi mempolitikkan isu berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah pada Selasa (1 Ogos), lapor Sinar Harian.

Dalam ceramah berkenaan, Encik Muhyiddin mendakwa isu kalimah Allah menggambarkan Kerajaan Perpaduan kini diterajui bukan Islam selain mendakwa Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim dipengaruhi DAP susulan kerajaan tidak meneruskan rayuan di mahkamah berhubung kes kalimah Allah.

Encik Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan cadangan menambah baik arahan pentadbiran susulan arahan sedia ada tidak lagi boleh digunakan.

“Asas keputusan mahkamah tinggi tempoh hari ialah kerana adanya percanggahan antara keputusan jemaah menteri dan KDN. Kabinet ketika itu (Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri) mengeluarkan ‘partial ban’, maksudnya penggunaan beberapa perkataan termasuklah perkataan Allah tertakluk kepada yang diletakkan di kulit hadapan untuk kegunaan Kristian dalam konteks Sabah dan Sarawak.

“Manakala KDN ketika itu membuat satu arahan pentadbiran yang mengenakan ‘total ban’,” jelasnya. Menurutnya, keputusan berkenaan tidak pernah diubah oleh Encik Muhyiddin selepas dilantik Perdana Menteri.

“Dari segi pelaksanaan, apabila penguatkuasaan dilakukan dan rampasan berlaku menyebabkan pihak terlibat mencabar di mahkamah. Percanggahan keputusan Kabinet dengan arahan pentadbiran KDN menyebabkan keputusan kabinet dianggap terpakai, rampasan bahan tersebut dianggap tidak mengikut undang-undang,” ujarnya.

Encik Saifuddin turut mempersoalkan tindakan Encik Muhyiddin yang tidak meneruskan keputusan Kabinet sebelum itu yang memutuskan ia dibuat secara penyelesaian luar mahkamah.
“Semasa Muhyiddin dan saya sebagai anggota jemaah menteri (2018) bawah pimpinan Dr Mahathir, Kabinet buat keputusan kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah berkait isu tersebut dibuat secara penyelesaian luar mahkamah.

“Keputusannya diusahakan secara berunding antara kerajaan dengan pihak yang membawa kes ke mahkamah. Malangnya Muhyiddin tidak hormati keputusan itu dan tidak berbuat apa-apa,” katanya lagi, menurut Sinar Harian.

Menurutnya, tidak mustahil keengganan Encik Muhyiddin menyelesaikan isu terbabit disebabkan beliau mempunyai agenda politik untuk terus memainkan sentimen agama.

“Beliau jelas tidak berniat mahu harmonikan kehidupan rakyat berbilang kaum. Seolah mahu tonjolkan diri sebagai jaguh membela umat Islam dan pertahankan akidah.

“Sedangkan hakim membuat keputusan penghakiman mereka tiada kaitan soal teologi atau akidah, sebaliknya persoalan timbul akibat percanggahan keputusan kabinet dan arahan pentadbiran,” ujarnya.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan