Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin Yassin sedia lepaskan jawatan susuli kekalahan PN dalam PRN Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Muhyiddin Yassin sedia lepaskan jawatan susuli kekalahan PN dalam PRN Johor

Muhyiddin Yassin. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Mar 2022 01:46PM Dikemas Kini : 13 Mar 2022 02:57PM

KULAI: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sedia bertanggungjawab atas kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dan melepaskan jawatan sekiranya itu yang dimahukan oleh pimpinan parti gabungan itu.

“Saya bersedia jikalau itu yang ahli dan pimpinan parti buat keputusan, kerana kedudukan saya adalah persetujuan pimpinan PN.

“Saya terima kerana kita (PN) mengamalkan sistem demokrasi dan itu adalah hak ahli parti atau parti komponen PN,” kata Presiden Bersatu itu dalam sidang media mengenai keputusan PRN Johor.

Bekas Perdana Menteri itu, akur dengan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Kami menang, kami kalah saya bertanggungjawab. Amanah saya pikul dan kalau ada rasa terkilan, saya terima. Saya sudah lakukan yang terbaik dan kami semua sudah bekerja keras,” kata beliau.

Encik Muhyiddin berkata sebagai parti gabungan baru yang bertanding pada pilihan raya, PN menghormati sistem demokrasi dan menerima keputusan rakyat Johor, yang sudah memilih BN untuk menerajui negeri berkenaan.

Meskipun PN hanya memenangi tiga kerusi daripada 56 dipertandingkan iaitu di DUN Bukit Kepong, Endau dan Maharani, namun secara umumnya parti gabungan itu diterima baik malah mendapat sokongan daripada pengundi Johor.

“Tahniah kepada semua calon yang bakal menjadi YB (Yang Berhormat). Kita harap mereka akan jalankan amanat yang diberikan kepada mereka dengan baik, berkesan dan mampu memajukan kawasan masing-masing.

“Kempen kita sudah laksanakan dalam tempoh PRN ini berjaya tarik perhatian rakyat Johor, namun ia tidak mendapat cukup bilangan. Ini adalah petanda bahawa kita diterima cuma tidak sebesar diharapkan namun perjuangan akan diteruskan,” tambah beliau.

Beliau turut berkata PN akan melakukan analisa serta pascanilai berkaitan keputusan pilihan raya negeri itu terhadap PN seperti mengetahui sebab parti gabungan itu tidak memenangi jumlah kerusi yang lebih besar.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan