Skip to main content

Dunia

Muhyiddin Yassin sahkan dipanggil SPRM berhubung Jana Wibawa

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Sabtu (18 Feb) berkata beliau telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan keterangan mengenai projek Jana Wibawa.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata ia berkaitan penganugerahan kepada kontraktor terpilih di bawah projek berkenaan, yang didakwa oleh pihak tertentu berkemungkinan terdapat unsur tatacara perolehan yang tidak mengikut peraturan.

Encik Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata SPRM memaklumkan beliau dipanggil bagi memberikan keterangan dan bukan sebagai suspek yang dikaitkan dengan sebarang tindakan pendakwaan.
"Jana Wibawa adalah projek yang diusahakan pihak Kementerian Kewangan (MOF) yang dicadangkan Menteri Kewangan ketika itu Tengku Zafrul untuk membantu kontraktor Bumiputera semasa COVID-19, yang kalau tidak dibantu sebahagian besar akan gulung tikar.

“Cadangan itu dibawa ke Kabinet dan diluluskan. Kita laksanakan dengan meminta Persatuan Pemborong Bumiputera untuk mengemukakan nama-nama kontraktor berwibawa yang diluluskan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan program Blood Donation Drive Yayasan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf pada Sabtu.

Katanya lagi, peraturan itu ditetapkan oleh Menteri Kewangan yang mempunyai kuasa penentu untuk memilih atau kementerian yang terlibat dengan projek-projek tadi untuk memberi pertimbangan, menilai sama ada yang mohon itu layak atau tidak.

Sehubungan itu, Encik Muhyiddin menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam proses mempertimbangkan atau meluluskan projek berkenaan kerana ia tertakluk di bawah MOF.

"Jadi apa terlibat dengan saya? Tiada, cuma menyalurkan sahaja. Adakah saya memutuskan? Tidak sama sekali. Saya jelaskan juga, ada yang ditanya kenal ke tidak kontraktor? Saya tak kenal, tak pernah berjumpa pun dengan mereka, nama-nama syarikat pun saya tak tahu," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tatacara perolehannya dibuat mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.

Menurut Encik Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, penangguhan projek melibatkan nilai RM5.7 bilion (S$7.6 bilion) itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita