Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin Yassin nafi selewengkan RM600 bilion ketika galas jawatan PM M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sekali lagi menafikan dakwaan menyelewenkang perbelanjaan hampir RM600 bilion (S$184 bilion) ketika pentadbirannya.

Menyifatkan dakwaan itu tidak masuk akal, mantan perdana menteri Malaysia itu berkata sekiranya perkara tersebut berlaku, sudah tentu ia diketahui oleh Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Malah, Bank Negara Malaysia (BNM) turut akan mendapat makluman mengenai pergerakan wang tersebut, lapor Astro AWANI.

"Siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu, tetapi tidak ada apa-apa pun. Nak kata saya halang siasatan kerana saya Perdana Menteri Malaysia pun tak betul kerana saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lebih setahun yang lalu.

"Negara kita mempunyai sistem dan amalan yang standard untuk menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan wang kerajaan. Kesemua perbelanjaan kerajaan adalah tertakluk kepada audit kerajaan dan jika terdapat penemuan audit yang mencurigakan, teguran audit boleh dibuat terhadap jabatan kerajaan yang berkenaan.

"Jika terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku dan saya percaya pihak Kementerian Kewangan Malaysia, khususnya Agensi LAKSANA, mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua lapan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (5 Dis).

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu bersedia untuk disiasat kerana yakin beliau tidak menyeleweng duit rakyat yang telah diamanahkan kepada kerajaan bagi tujuan membantu mereka ketika zaman kesusahan, lapor Astro AWANI.

"Daripada keseluruhan RM530 bilion (S$163 bilion) ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk bukan fiskal, iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion (S$44 bilion), pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion (S$3 bilion), moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion (S$55 bilion), jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion (S$ 24 bilion) dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan," katanya, lapor Astro AWANI.

"Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Saya sebagai Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini. Malah menurut kenyataan Menteri Kewangan Malaysia pada 29 Jun 2021, perbelanjaan yang melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal pula bernilai RM83 bilion (S$25 bilion).

"Ini termasuk perbelanjaan untuk pembelian vaksin bernilai RM5 bilion (S$1.5 bilion) dan pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat seperti subsidi upah bernilai RM20.92 bilion (S$6.4 bilion), Bantuan Prihatin Nasional bernilai RM18.2 bilion (S$5.6 bilion), Geran Khas Prihatin bernilai RM4.21 bilion (S$1.2 bilion), Geran Khas Prihatin Permai bernilai RM842,000,000 (S$259 juta), Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera bernilai RM500,000,000 (S$153 juta) dan bantuan-bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak," jelasnya.

Encik Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), turut berpesan kepada pemimpin politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO untuk berhenti menuding jari dengan pelbagai tuduhan hanya untuk menutup kelemahan Kerajaan.

"Kerajaan yang baru berusia beberapa hari ini yang kelihatan masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. Awak dah jadi kerajaan, 'act like a government'. Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka," tegasnya.
Sumber : Agensi berita/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan