Muhyiddin Yassin didesak letak jawatan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu
Encik Muhyiddin Yassin di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke-8. (Gambar: BERSATU/FB)
SHAH ALAM: Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-8 pada Jumaat (6 Sep) menjadi kecoh apabila beberapa kumpulan mencetuskan provokasi mendesak Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin supaya meletak jawatan.
Insiden itu berlaku ketika sesi ucapan dasar presiden apabila Encik Muhyiddin menyentuh isu cubaan menjatuhkan kepimpinannya melalui cara mengumpul tandatangan.
"Katanya ada orang kutip tandatangan untuk jatuhkan Presiden. Ini tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti... kalau Presiden dijatuhkan melalui kutipan tandangan, semua yang ada di atas pentas ini pun boleh dijatuhkan melalui cara yang sama.
"Ketua-Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Ketua Srikandi Muda, Ketua Bersekutu dan semua Ahli Jawatankuasa Bahagian pun boleh ditimpa nasib yang sama," katanya ketika berucap pada perhimpunan itu pada Jumaat malam.
Ucapan beliau disambut dengan jeritan "tidak benar" dipercayai bagi menafikan perkara itu diikuti laungan "turun Tan Sri" sebelum berlaku kekecohan di antara perwakilan yang kemudiannya berjaya ditenteramkan.
Pada sidang media selepas itu, Encik Muhyiddin berkata beliau tidak tahu menahu mengenai desakan tersebut dan ia akan disemak oleh pihak keselamatan untuk tindakan lanjut.
"Saya tidak terganggu dengan perkara yang berlaku… saya anggap itu perkara biasa sahaja, yang penting Bersatu masih lagi bergerak sebagai parti politik dan kita lihat semangat secara keseluruhannya amat tinggi," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.