Skip to main content

Dunia

Muhyiddin Yassin diarah bayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng

Anggaran Waktu Membaca:
Muhyiddin Yassin diarah bayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng

(Gambar: Malaysiakini)

Diterbitkan : 08 Nov 2024 11:20AM Dikemas Kini : 08 Nov 2024 11:22AM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan mantan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin memfitnah mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung isu pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain mengarahkan Encik Muhyiddin membayar ganti rugi sebanyak RM1.35 juta (S$410,000) kepada Encik Lim.

Hakim berkata Ahli Parlimen Pagoh itu tidak cuba untuk mengesahkan kenyataan sebelum mengeluarkan dakwaan yang tidak berasas, lapor Malaysiakini.

Hakim Roz menegaskan bahawa keterangan Encik Lim yang menyatakan beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk membatalkan status pengecualian cukai yayasan itu tidak terjejas sepanjang perbicaraan penuh.

Hakim juga mencatatkan saksi pihak Encik Muhyiddin sendiri — seorang pegawai dari Kementerian Kewangan — yang mengesahkan bahawa Encik Lim, semasa memegang jawatan menteri kewangan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat yang mengandungi kenyataan sedemikian.

“Kenyataan tersebut bukan sahaja tidak benar tetapi berpotensi membawa kesan buruk di dalam negara berbilang budaya,” kata Hakim Roz, sambil menegaskan dakwaan itu serius kerana ia mencadangkan Encik Lim menyalahgunakan kuasa yang melibatkan sebuah yayasan amal Islam.

Menurut laporan Malaysiakini, saman tersebut berkait fitnah Encik Muhyiddin bahawa Encik Lim ketika menjadi Menteri Kewangan telah meluluskan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Butiran pampasan yang diputuskan oleh mahkamah sivil RM350,000 (S$106,000) untuk setiap tiga kenyataan yang membawa kepada jumlah RM1.05 juta (S$317,000) bagi ganti rugi umum, ditambah RM150,000 (S$45,000) untuk ganti rugi teruk dan RM150,000 (S$45,000) untuk ganti rugi teladan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM1.35 juta (S$410,000).

Hakim Roz Mawar juga memerintahkan Encik Muhyiddin membayar kos sebanyak RM50,000 (S$15,100) kepada Encik Lim.

Di samping itu, mahkamah mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang Encik Muhyiddin daripada mengulangi kenyataan tersebut.

Mantan Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilihat berjabat tangan dan dipeluk oleh pemimpin serta penyokong DAP selepas prosiding mahkamah terbuka.

Encik Muhyiddin pula tidak kelihatan semasa prosiding berlangsung.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita