Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin ulangi sokongan PN terhadap pemulihan projek HSR

Perikatan Nasional (PN) akan menyokong pemulihan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura antara Malaysia dengan Singapura sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Muhyiddin ulangi sokongan PN terhadap pemulihan projek HSR

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri), yang juga Presiden Bersatu, ketika melancarkan Ikrar Perikatan Nasional Demi Bangsa Johor di sebuah hotel di Johor Bahru pada 2 Mac 2022. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Mar 2022 04:27PM Dikemas Kini : 02 Mar 2022 04:28PM

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) akan menyokong pemulihan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura antara Malaysia dengan Singapura sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata beliau sudah menyatakan sokongan terhadap projek itu ketika beliau menjadi perdana menteri, dengan mendakwa HSR akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

"HSR adalah baik untuk negara dan Singapura. Jika Singapura mahu kembali (untuk berunding semula), ia bagaimanapun tidak akan mengikut asas atau perkiraan yang sama dibuat semasa zaman Najib (bekas perdana menteri).

“Saya percaya ini (HSR) adalah satu 'game changer'. Saya telah mengatakannya sebelum ini dan saya akan nyatakannya sekali lagi. Ya, ia adalah 'game changer'. Kami (PN) mahu melakukannya,” kata beliau kepada para wartawan selepas melancarkan Ikrar PN “Demi Bangsa Johor” di Johor Bahru hari ini (2 Mac).

Encik Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu berkata demikian ketika ditanya sama ada PN akan menyokong pemulihan projek HSR yang melibatkan berbilion ringgit itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mendakwa bahawa semasa beliau menjadi perdana menteri, beliau juga meninjau beberapa model sekiranya Singapura tidak mengambil bahagian dalam projek tersebut.

Menurut beliau, syarat atau terma utama projek HSR harus dirundingkan semula jika Singapura memilih untuk membuka semula perbincangan mengenainya meskipun projek itu masih berdaya maju walaupun tanpa penyertaan republik itu.

"Walaupun Singapura tidak mengambil bahagian, kita telah membuat kiraan melalui HSR Sdn Bhd bahawa ia (HSR) masih berdaya maju. Tetapi, ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapatkan semula kos HSR.

"Saya juga mempunyai idea untuk melanjutkan HSR bukan sahaja ke Kuala Lumpur tetapi kita mahu bergerak ke utara ke Bangkok dan malah ke beberapa negara lain (dari Thailand) di rantau ini. Itu adalah sebahagian daripada rancangannya, " tambah beliau.

Pada 1 Januari tahun lalu, Malaysia dan Singapura bersama-sama mengumumkan penamatan projek HSR kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

Kurang setahun selepas penamatan projek itu, semasa lawatan rasmi ke Singapura pada November tahun lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan kepada rakan sejawatannya, Encik Lee Hsien Loong, untuk memulihkan projek berkenaan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan