Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin tegas PN tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam PRU15

"Bukan kita tidak suka perpaduan, (tapi) kerana ada banyak perbezaan ketara." - Muhyiddin Yassin

Anggaran Waktu Membaca:
Muhyiddin tegas PN tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam PRU15
Encik Muhyiddin Yassin. (Gambar fail: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak akan membentuk sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilhan Raya Umum Malaysia ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat kerana gabungan PN yang dianggotai komponen parti PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) mempunyai perbezaan dengan PH.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata kerjasama hanya boleh dipertimbangkan sekiranya berlaku rombakan besar-besaran dalam PH.

“Dalam bentuk kerjasama PH yang sedia ada tak mungkin, bukan kita tidak suka perpaduan kerana ada banyak perbezaan ketara. Saya dulu ada pengalaman di situ (dan) sebab itu kita (Bersatu) buat keputusan untuk meninggalkan PH.

“Antara faktor menyebabkan kita tidak bersedia untuk bersama-sama adalah satu parti yang ada dalam PH dilihat sebagai tidak pro-Melayu, Bumiputera, sejarahnya mempertikaikan hak dan sebagainya, jadi kita tidak fikir boleh bersama dalam jemaah,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Keempat Bersatu hari ini (19 Dis).

Media sebelum ini melaporkan bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mewakili PH,  baru-baru ini mencadangkan supaya PH dan PN bekerjasama pada PRU akan datang.

Sementara itu, Encik Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh ketika ditanya mengenai bagaimana parti itu boleh menarik sokongan masyarakat luar bandar, berkata beliau tidak bimbang untuk berdepan dengan parti lain dalam pertandingan di kerusi luar bandar. 

“Sebab itu di Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini kita ambil cabaran untuk (bertanding) tiga penjuru.

"… dan terbukti bahawa walaupun kita tidak berjaya menambah bilangan, tetapi penganalisis yang saya sebut dalam ucapan tadi telah membuat kajian mendalam yang menunjukkan bahawa trend sokongan yang agak besar beralih kepada Bersatu ataupun rakan lain di dalam Perikatan Nasional, termasuk PAS," katanya. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan