Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin tawar Khairy Jamaluddin jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sudah ditawarkan memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Presidennya, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, keputusan berkenaan tawaran kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu sudah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi Bersatu baru-baru ini.

“Pasal ni dah bincang dengan rakan-rakan saya, kita ada dua kekosongan, jika beliau (Khairy) setujulah.

“Ini bukan umpan saya, kita biarkan KJ buat keputusan, kita tak gesa sangat. Beliau tahu masa yang sesuai,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Majlis Penganugerahan Geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MASA) kohort-2 (MPDP 2.0).

Encik Muhyiddin juga berharap agar Khairy Jamaluddin dapat membuat keputusan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Jun ini.

“Dewan Undangan Negeri akan bubar Jun, tempoh masa sudah terhad, jadi saudara Khairy boleh fikirkan dengan baik. Inilah masa yang sesuai, semua orang mengharapkannya menyertai Perikatan Nasional.

“Beliau dah minta hendak jumpa saya lama dulu iaitu selepas dipecat UMNO. Jadi kami berjumpa berbincang secara terbuka hala tuju beliau harapan parti kita.

“Khairy tokoh politik muda yang berkaliber, sebenarnya beliau tak mohon nak masuk, saya tawar beliau,” katanya, lapor Sinar Harian.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, jika Khairy menyertai Bersatu, beliau boleh membantu membina kekuatan parti.

“Semua orang dah tahu apa yang berlaku pada UMNO, hampir hancur lebur, rumah UMNO sudah jadi sarang DAP.

“Yang ini mungkin menghancurkan harapan sebahagian besar ahli UMNO, jadi saya tak payah nak sebut.
Bagi parti Bersatu, kita tahu hala tuju, lawan untuk rakyat, pertahan semua hak masing-masing dan sah buktikan PRU lepas gabungan BeRsatu dan Pas didokong oleh ahli Melayu,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai persediaan menghadapi PRN di enam negeri, Perikatan Nasional (PN) sudah hampir memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponennya.

Pengerusi PN itu berkata, perbincangan mengenai perkara itu juga akan dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mei ini.

"Saya sudah arahkan pasukan perunding setiap parti menyelesaikan (pembahagian kerusi). Mereka ialah Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau.

"Ada satu, dua kerusi saja lagi dan apabila ini sudah selesai, kita akan tahu ia milik siapa. Kemudian kita akan minta senarai nama bakal calon bersesuaian untuk diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi," jelasnya, dipetik daripada Sinar Harian.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan