Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin sangkal dakwaan PN peroleh dana syarikat judi biaya kos kempen PRU15

Anggaran Waktu Membaca:

KULIM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan parti itu memperolehi dana daripada syarikat judi untuk menampung kos kempen PRU ke-15.

Beliau berkata kenyataan dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu pada Isnin (5 Dis) merupakan tuduhan berat.

Bahkan, Encik Muhyiddin bersumpah tidak mengambil walau satu sen pun sumbangan daripada syarikat judi.

"Dia (Anwar) kata kita kempen pilihan raya ini pakai duit judi. Kot (mungkin) dia kot… Saya tak nak kata, tapi ada maklumat kata kot dia kot.

"Kami ini pemimpin, sini dah haram judi, sana dah haram judi. Nak ambil duit judi nak urus pilihan raya, habis kami sengkek dah tak ada duit?

"Wallahi kami takkan lakukan perkara-perkara yang haram sebegitu. Takkan terima walau sesen pun sumbangan daripada mana-mana pihak gaming company (syarikat permainan) hanya kerana kami nak duit, haram," Malaysiakini memetik kata-kata Encik Muhyiddin dalam ceramah peringkat akhir Parlimen Padang Serai di Kulim pada Isnin malam.

Encik Muhyiddin, yang juga mantan perdana menteri, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Encik Anwar pada Isnin yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Encik Anwar berkata dana pilihan raya untuk parti "Melayu" dan parti "Islam" datang dari syarikat perjudian.

"Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

"Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi," katanya, seperti dipetik Malaysiakini. 

Beliau turut menegur pentadbiran PN, yang diketuai Bersatu dan PAS, kerana menaikkan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali setahun dan langkah itu dibuat pada akhir 2020.

Encik Anwar menambah, selaku menteri kewangan, beliau memutuskan bilangan cabutan khas judi akan kembali dikurangkan kepada lapan kali setahun bermula tahun depan.

Encik Muhyiddin menjelaskan pihaknya mempunyai "kawan" yang membantu sedikit sebanyak PN dan keadaan itu turut berlaku pada pihak parti lain.

"Tetapi kami pun ada kawan, tak ramai sikit-sikit dok tolong bantu. Hat (Yang) dia pun dapat juga, hat sana pun dapat juga.

"Kalau kami dapat, Gerakan dapat, Bersatu dapat, PAS pun dapat, salahkah? Ikutkan undang-undang tak salah. Yang Anwar boleh buat tuduhan, ini tuduhan berat. Baru naik hari ini kabinet dah buat tuduhan," ujarnya seperti dipetik dalam laporan Malaysiakini.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan