Skip to main content

Dunia

Muhyiddin rayu keputusan kembalikan kes ke Mahkamah Sesyen

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kes beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
Muhyiddin rayu keputusan kembalikan kes ke Mahkamah Sesyen

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Mar 2024 11:54AM

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia,  Muhyiddin Yassin membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan kes salah guna kedudukan untuk suapan RM232.5 juta (S$66 juta) bagi Parti Bersatu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan notis rayuan yang diperoleh media, Presiden Bersatu itu memfailkan rayuan berkenaan pada Khamis (29 Feb), terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Encik Muhyiddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Rabu lalu panel tiga hakim yang dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara dalam membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwa raya selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Encik Muhyiddin daripada empat pertuduhan berkenaan pada 15 Ogos tahun lepas.

Dua lagi hakim terdiri daripada Hakim Azmi Ariffin dan S.M Komathy Suppiah.

Encik Muhyiddin, 76 tahun, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta (S$66 juta) berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta (S$55 juta)daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Encik Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta (S$1.42 juta) dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan bersama.

Sumber : Bernama/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita