Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin optimis Perikatan Nasional jadi pilihan rakyat pada PRU15

Encik Muhyiddin berkata Perikatan Nasional akan jadi pilihan rakyat kerana gabungan itu sudah membuktikan ia mampu mentadbir negara dengan baik.

Anggaran Waktu Membaca:
Muhyiddin optimis Perikatan Nasional jadi pilihan rakyat pada PRU15

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 04 Dec 2021 05:25PM Dikemas Kini : 04 Dec 2021 05:28PM

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin optimis gabungan berkenaan akan menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Berucap ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-50 di Kuala Lumpur, beliau berkata ini kerana PN menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat dan berintegriti selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

“Kerana itulah kita membentuk Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP). Kita mahu menjadikan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik di peringkat nasional yang menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat, cekap, telus dan berintegriti,” katanya hari ini (4 Dis).

Presiden Bersatu itu berkata PN juga sudah membuktikan gabungan itu mampu mentadbir negara dengan baik dengan mengamalkan dasar prihatin rakyat serta mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang dan pencapaian itu akan dipertahan dan persembahkan kepada rakyat untuk dinilai.

Sementara itu, Encik Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata sistem parti dominan di negara ini telah runtuh selepas PRU14, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan yang memerintah di peringkat Persekutuan.

Katanya, ia menyaksikan Kerajaan Persekutuan pada masa ini dibentuk oleh PN, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata sebagai sebuah parti yang mendokong prinsip integriti, PN telah meletakkan asas yang jelas dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan mahu pun negeri.

“Dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada hari ini, tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa mereka adalah parti dominan yang boleh melakukan apa sahaja mengikut selera parti masing-masing tanpa mengambil kira pandangan parti-parti lain yang membentuk kerajaan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Mengenai peranan Gerakan dalam PN, Encik Muhyiddin berkata parti itu perlu bersama-sama memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang kuat dan disokong oleh majoriti rakyat.

“Inilah tugas dan cabaran besar bagi Gerakan sebagai sebuah parti anggota PN. Saya percaya tugas ini akan dapat digalas dengan baik oleh seluruh pimpinan dan ahli Gerakan yang berjuang dengan semangat satu hati untuk mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam sidang media selepas perasmian itu berkata untuk menarik sokongan rakyat, parti itu akan menampilkan calon muda pada PRU15 selaras dengan pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang telah diwartakan pada 1 Dis lepas.

Selain itu, beliau berkata berdasarkan post-mortem Pilihan Raya Negeri Melaka, parti itu juga akan melipatgandakan usaha penggunaan media sosial bagi menarik sokongan rakyat.

“Kita berpandangan kempen dalam norma baharu menggunakan media sosial ini merupakan kekuatan yang kita akan kekalkan," katanya.

Persidangan turut dihadiri Penasihat Gerakan Mah Siew Keong, Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali dan Ketua Wanita PN Rina Mohd Harun.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan