Skip to main content

Dunia

Muhyiddin minta penyokong bertenang, patuh kepada undang-undang

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin meminta rakyat, termasuk ahli-ahli Bersatu dan penyokong Perikatan Nasional (PN), supaya bertenang serta patuh kepada undang-undang demi keamanan negara.

Encik Muhyiddin berkata beliau dan pasukan peguamnya akan berusaha serta berikhtiar untuk mendapatkan keadilan di mahkamah selain menyerahkan nasibnya kepada Allah dan hakim yang adil.

“Saya tidak akan mengajak saudara dan saudari turun ke jalanan untuk mempertahankan diri saya. Ini zaman kegawatan ekonomi akibat COVID-19. Rakyat sedang mengalami kesusahan hidup."

“Saya tidak mahu membebankan rakyat untuk membela diri saya. Kita semua mesti patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara,” katanya kepada wartawan di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada Jumaat (10 Mac).

Menurut Encik Muhyiddin, beliau menerima segala pertuduhan ke atasnya dengan sabar kerana sedar dalam dunia politik tidak dapat lari daripada musuh yang ingin menghancurkan diri, keluarga dan partinya.

Mengenai jawatannya sebagai Presiden Bersatu pula, Encik Muhyiddin menyerahkan perkara itu kepada Majlis Tertinggi (MT) parti berkenaan.

“Saya akan bawa kedudukan saya kepada Majlis Tertinggi parti (Bersatu) untuk mereka putuskan. Saya akan serah kepada MT dalam tempoh paling terdekat, apa sahaja keputusan yang mereka buat saya akan akur,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PN itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta (S$69.6 juta) bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta (S$58.5 juta).
 
Hakim Azura Alwi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2 juta (S$600,200) dengan dua penjamin selain memerintahkan mantan perdana menteri itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bercakap kepada media, peguam K. Kumaraendran, yang mewakili Encik Muhyiddin, memaklumkan ahli keluarga anak guamnya sudah membayar wang jaminan di kaunter bayaran jamin di kompleks berkenaan.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita