Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin ikrar pimpin Bersatu hingga menang PRU16

Anggaran Waktu Membaca:
Muhyiddin ikrar pimpin Bersatu hingga menang PRU16

(Gambar: Facebook/Parti Pribumi BERSATU Malaysia)

SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin menegaskan beliau akan kekal mengetuai parti berkenaan sehingga berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, banyak kerja dan tugas besar yang perlu dilakukan oleh parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Saya berikrar untuk membawa mandat ahli-ahli Bersatu dan akar umbi yang diterima sebulat suara dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2023 untuk saya meneruskan tanggungjawab sebagai Presiden sehingga berjaya bertapak semula di Putrajaya dalam PRU16, insya-Allah.

“Oleh itu, jangan kita diadu domba, dilaga-laga dan dicucuk sana sini, kononnya ada kem itu dan ini. Ada kumpulan itu dan kumpulan ini yang akan melemah dan memecahkan kita. Ini semua karut,” katanya, seperti dipetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di PAT Bersatu kali ke-7 pada Sabtu (30 Nov).

Pada masa yang sama, Encik Muhyiddin menegaskan bahawa beliau mahu memimpin parti berkenaan kerana ia kini menjadi harapan rakyat dan bangsa.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mendakwa parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan tidak dijamin dapat menjulang perjuangan agama, kaum dan negara.

Dalam pada itu, Encik Muhyiddin memberi jaminan kepada kaum Cina, India dan lain-lain bahawa hak kumpulan berkenaan kekal terpelihara jika Bersatu berjaya membentuk kerajaan.

Jelas beliau, hak kaum berkenaan akan terus dipertahankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebagai sebuah parti yang mendokong semangat nasionalisme baharu untuk Malaysia, Bersatu tidak boleh bergantung kepada sokongan orang Melayu dan bumiputera membentuk kerajaan, lapor Sinar Harian.

“Lihat rekod prestasi kami semasa menjadi kerajaan. Tidak ada seurat benang pun hak kaum bukan Melayu dirampas atau diketepikan, malah semua bantuan semasa pandemik COVID-19 diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya dan anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada waktu itu tidak melihat kepada warna kulit atau kepercayaan agama untuk menyampaikan bantuan. Saya tidak pernah tanya awak Melayu ke Cina ke, India ke sebelum beri bantuan,” jelasnya.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan