Muhyiddin dikuarantin 14 hari di rumah, setelah menteri hal ehwal agama disahkan positif COVID-19
Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin akan menjalani kuarantin 14 hari di kediamannya, setelah seorang menteri yang menghadiri mesyuarat yang beliau pengerusikan diuji positif COVID-19.
(Gambar fail: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin akan menjalani kuarantin 14 hari di kediamannya, setelah seorang menteri yang menghadiri mesyuarat yang beliau pengerusikan diuji positif COVID-19.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (5 Okt), Encik Muhyddin berkata beliau telah mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara pada Sabtu, yang juga dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dr Zulkifli sejak itu disahkan positif COVID-19 dan sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Seremban, tambahnya.
Encik Muhyiddin berkata beliau akan menjalani kuarantin di kediamannya selama 14 hari berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan.
"Hal ini bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan Kerajaan. Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan," katanya.
Awal pada itu, Dr Zulkifli mengesahkan dalam catatan Facebook bahawa beliau disahkan positif COVID-19 dan berada dalam keadaan sihat.
"Orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadiran saya sepanjang 24 September hingga 4 Oktober diminta menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera" katanya.
Menteri itu tidak mengalami sebarang gejala COVID-19 semasa mesyuarat pada Sabtu, menurut kenyataan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau menambah semua kontak rapatnya di mesyuarat itu sudah dikenakan perintah kuarantin dalam rumah selama 14 hari bermula hari kontak.
Mereka yang hadiri mesyuarat tersebut namun bukan kontak rapat diperlukan memantau keadaan kesihatan sendiri setiap hari sepanjang 14 hari, katanya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.