Skip to main content

Dunia

Muhyiddin bakal didakwa berhubung kenyataan sentuh isu kaum, agama & raja

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, akan didakwa di mahkamah pada Selasa (27 Ogos), di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataan yang dibuat semasa pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, dalam satu catatan di Facebook pada Isnin (26 Ogos), lapor Astro Awani.

“Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang di bawah Akta Hasutan. Pendakwaan esok menggunakan Akta Hasutan,” kata Encik Badrul Hisham dalam catatan itu.

Encik Muhyiddin disiasat oleh polis selepas aduan dibuat berhubung video tular semasa tempoh kempen di Nenggiri itu.

Dalam video tersebut, Encik Muhyiddin, yang berucap di sebuah ceramah di Felda Perasu pada 15 Ogos, dilihat seolah-olah mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Encik Muhyiddin, yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang ketika beliau menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mantan Perdana Menteri itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (kaum, agama, raja).
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita