Skip to main content

Dunia

Muhammad Sanusi tolak pencalonan bertanding bagi jawatan Naib Presiden PAS

Anggaran Waktu Membaca:

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan menolak pencalonan untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden PAS pada Muktamar Tahunan Pas yang dijadual berlangsung pada 20 Oktober ini.

Beliau berkata, pencalonan tersebut dimaklumkan menerusi surat daripada parti namun menolak untuk bertanding bagi jawatan nombor tiga tertinggi parti itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu sebaliknya mengesahkan akan bertanding untuk Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bagi penggal 2023-2025.

“Saya ada (dapat) pencalonan tetapi saya tolak. Dapat tawaran itu melalui surat yang memaklumkan pencalonan untuk Naib Presiden, namun saya tolak.

“Saya tandakan bertanding Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Sebabnya saya rasa saya patut duduk (jawatan AJK) situ saja,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu (27 Sep), lapor Sinar Harian. 

Pada Selasa (26 Sep), penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Hussain Yusri Zawawi berpandangan kemungkinan berlaku perubahan melibatkan tiga kerusi bagi jawatan naib presiden dan tidak menolak kemungkinan Encik Muhammad Sanusi antara yang layak menduduki jawatan berkenaan.

Encik Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah menegaskan belum ‘layak’ untuk memikul tanggungjawab tersebut atas beberapa faktor.

“Itu pandangan mereka, saya tahu diri saya setakat mana. Dalam PAS, kualiti untuk memimpin parti dengan kualiti untuk memimpin sektor lain adalah berbeza. Ciri-cirinya tak sama dan kelayakan pun tak sama.

“Ia berdasarkan merit kelayakan, keupayaan dan kemahiran, bukan kerana politik. Bukan kerana kita pandai melobi jumpa orang, itu tak boleh. Ia juga berdasarkan kepada sesuai atau tak sesuai,” jelasnya, lapor Sinar Harian. 

Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita