Muhammad Ridhuan, bapa tiga anak yang penukaran agama terbatal diburu
Polis percaya mualaf, Muhammad Ridhuan Abdullah yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuannya kepada bekas isteri, M. Indira Gandhi masih berada dalam negara.
(Gambar fail melalui Astro Awani).
KUALA LUMPUR: Polis percaya mualaf, Muhammad Ridhuan Abdullah yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuannya kepada bekas isteri, M. Indira Gandhi masih berada dalam negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah membuat semakan dengan Jabatan Imigresen mengenai perkara tersebut dan mendapati mereka tidak meninggalkan negara, lapor Astro Awani.
"Kami sudah melakukan semakan dengan Jabatan Imigresen berhubung perkara itu dan daripada maklum balas yang kita terima, kita percaya dia masih berada dalam negara.
"Saya memberikan arahan khusus kepada Jabatan Siasatan Jenayah untuk mengesan kanak-kanak terbabit seperti mana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan semalam.
"Tetapi setakat ini belum ada sebarang petunjuk di mana dia berada, justeru kita mohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil salurkan maklumat."
Menurut laporan Astro Awani, Mahkamah Persekutuan semalam (29 Jan) memutuskan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi adalah terbatal dan tidak sah dan memerlukan persetujuan kedua ibu bapa bagi penukaran agama anak kepada Islam.
Pertimbangan utama mahkamah ialah untuk melindungi kebajikan kanak-kanak dan dengan berbuat demikian, mahkamah tidak membuat penghakiman berdasarkan prinsip kepercayaan mana-mana pasangan.
Susulan itu, Indira Gandhi mengeluarkan kenyataan umum bahawa pihak polis tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mencari dan menangkap bekas suami yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan mereka kepadanya.
Encik Mohamad Fuzi menegaskan usaha mengesan dan menahan Muhammad Riduan diteruskan sejak 2014 namun masih gagal walaupun satu kenyataan media dikeluarkan bagi mendapat kerjasama orang ramai, lapor Astro Awani.
Polis turut memaklumkan kepada peguam yang mewakili Indira Gandhi tentang segala langkah yang diambil bagi mengesan Muhammad Riduan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.