Skip to main content

Dunia

Mufti Wilayah Persekutuan perjelas kedudukan kanak-kanak dalam solat jemaah

Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, tampil memberi penjelasan berhubung kedudukan kanak-kanak lelaki dalam saf ketika solat berjemaah.

Anggaran Waktu Membaca:
Mufti Wilayah Persekutuan perjelas kedudukan kanak-kanak dalam solat jemaah

Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri (Gambar: Facebook/Mufti Wilayah Persekutuan)

Diterbitkan : 06 Dec 2019 12:27PM Dikemas Kini : 06 Dec 2019 12:39PM

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, tampil memberi penjelasan berhubung kedudukan kanak-kanak lelaki dalam saf ketika solat berjemaah.

Dr Zulkifli berkata terdapat sepotong hadis Sahih Al-Bukhari yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah solat bersama mereka.

Tambah Dr Zulkifli, menurut Imam Al-Khatib Al-Syarbini pula, kedudukan kanak-kanak di belakang makmum dewasa adalah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama, dan sekiranya kanak-kanak hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada lelaki dewasa.

"Sesungguhnya kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa sebagaimana kata Al-Azraie apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika tidak, hendaklah disempurnakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492)," kata Dr Zulklifli menerusi laman Facebook pada Khamis (5 Dis).

Dr Zulkifli berkata demikian sebagai menjawab persoalan sepucuk surat yang tular di media sosial, hasil tulisan seorang kanak-kanak bernama Nadzrul Zarfan Sharul Azry kepada pengerusi di sebuah surau yang mendakwa dirinya 'dihalau' ke saf belakang oleh jemaah dewasa sedangkan beliau terlebih dahulu berada di saf hadapan.

Dalam surat tulisan tangan itu Nadzrul Zarfan turut mempersoalkan tindakan jemaah surau yang sering menghalau kanak-kanak yang berada di saf pertama di dalam surau.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli mengutarakan beberapa cadangan kepada ibu bapa dan pihak masjid antaranya tidak membawa kanak-kanak yang teramat kecil dan susah untuk dijaga serta akan mengganggu jemaah masjid.

"Jika kanak-kanak (yang masih kecil) tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu bapanya. Saya syorkan dalam keadaan sebegini, ibu bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu di hujung sekali.

Dalam catatan sama, Dr Zulkifli turut memuji peribadi Nadzrul Zarfan yang hadir menunaikan solat di surau bersama jemaah dewasa.

"...Tak salah apa yang anakanda (Nadzrul Zarfan) buat tu. Bagus duduk dengan orang-orang dewasa. Belajar cara solat dengan lebih sempurna. Tahniah pakcik ucapkan. Kalau ada orang kata nanti terputus saf bila ada budak-budak antara orang dewasa, cakap pada dia, Mufti Wilayah Persekutuan belum jumpa lagi mana-mana ulama yang kata begitu," pesan Dr Zulkifli.

Status Mufti Wilayah itu mendapat reaksi lebih 10,000 pengguna Facebook serta lebih 5,000 perkongsian.

Bagi pengguna Facebook, Arm Abdullah memuji tindakan Nadzrul Zarfan yang membuka mata banyak pihak tentang isu yang sering menjadi kekeliruan tersebut.

"Untung anak-anak tersebut. Tiada siapa sangka. Tegurannya pada pakcik di dalam masjid telah memberi penerangan kepada orang awam yang selama ini keliru.. Siapa sangka luahan adik tersebut menerbitkan segala hukum fiqh di sisi empat mahzab... Pahala banyak adik tersebut," tulisnya.

Seorang lagi pengguna Facebook, AraHamza mendoakan Nadzrul Zarfan membesar jadi anak yang soleh dan berterima kasih kepada Zulkifli atas jawapan yang sangat berhemah dan padat.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita