Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mufti Perlis saman GISBH, tuntut ganti rugi RM10 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Mufti Perlis saman GISBH, tuntut ganti rugi RM10 juta

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin. (Gambar fail: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, memfailkan saman terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dengan menuntut ganti rugi RM10 juta (S$3 juta) kerana didakwa memfitnah beliau hendak menjatuhkan perniagaan syarikat itu, lapor BH Online.

Melalui saman difailkan pada 1 Oktober lalu, Dr Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Dr Maza selaku plaintif tunggal, turut menamakan Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISBH, Mokhtar Tajuddin, sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan difailkan melalui firma guaman, Tetuan Faizal Rahman & Co, Dr Mohd Asri mendakwa defendan pertama (GISBH) menyiarkan pernyataan fitnah terhadap beliau melalui satu catatan dalam akaun Facebook rasmi defendan pertama atas nama 'GISB Holdings Sdn Bhd' berserta sebuah poster untuk tontonan umum pada 28 Ogos lalu.

Menurut plaintif, melalui sidang media pada 29 Ogos lalu pula, defendan didakwa mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud Dr Mohd Asri memfitnah dan menyebarkan pernyataan palsu, selain menimbulkan persepsi buruk mengenai syarikat berkenaan, seperti dipetik BH Online.

Dr Mohd Asri mendakwa kenyataan itu antara lain menggambarkan beliau memfitnah pertubuhan berkenaan dan mempunyai niat untuk menjatuhkan perniagaan defendan.

Ketika kenyataan berkenaan disiarkan, Dr Mohd Asri berkata, beliau menerima surat tuntutan daripada defendan yang mendakwa bahawa beliau memfitnah mereka.

Dr Mohd Asri mendakwa, surat tuntutan itu antara lain membawa maksud beliau menuduh defendan pertama tanpa usul periksa dan membuat dakwaan palsu terhadap GISBH.

"Kenyataan berbaur fitnah itu kemudian diulang pada sidang media oleh GISBH yang disiarkan melalui Facebook Live dan Ikhwan TV.

"Tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di laman sosial terbabit pada sidang media itu menyebabkan saya 'dibicarakan oleh orang awam'.

"Ia juga telah menafikan hak saya untuk menjawab surat tuntutan oleh GISBH," katanya, seperti dinukil BH Online.

Sehubungan itu, Dr Mohd Asri memohon supaya defendan membayar ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM10 juta, ganti rugi am, kos, faedah serta memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon supaya defendan membuat draf permohonan maaf kepadanya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman, dan menerbitkan draf terbabit antaranya dalam akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian, New Straits Times dan Facebook defendan secara bertulis selama 30 hari.

Turut dimohon ialah defendan memadamkan pernyataan fitnah itu daripada semua laman internet dan media sosial, termasuk Facebook, Twitter, Blogspot, TikTok dan Instagram bawah kawalan defendan.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan