Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mufti Perlis: Berdosa ibu bapa yang tolak vaksin, kerana biarkan anak dalam bahaya

Individu yang menolak penggunaan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit yang mengancam nyawa adalah berdosa.

Anggaran Waktu Membaca:
Mufti Perlis: Berdosa ibu bapa yang tolak vaksin, kerana biarkan anak dalam bahaya

Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin. (Gambar: Facebook Dr Mohd Asri)

Diterbitkan : 23 Jun 2016 06:59PM Dikemas Kini : 23 Jun 2016 07:04PM

PERLIS: Individu yang menolak penggunaan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit yang mengancam nyawa adalah berdosa.

Demikian pandangan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata ibu bapa yang memilih untuk tidak membenarkan anak mereka diberikan vaksin tanpa langkah pencegahan lain yang terbukti lebih efektif, juga berdosa kerana meletakkan anak mereka dalam keadaan bahaya.

Syariat Islam kata beliau, antara lain menuntut pemeliharaan kesihatan dan nyawa. Lantaran itu, dalam konteks berkaitan penggunaan vaksin perlulah berpegang kepada konsep Islam tambah beliau.

"Islam melarang manusia memusnahkan diri secara sia-sia seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud 'jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan’.”

"Ayat ini jelas menyuruh kita melindungi diri dari sebarang bahaya. Tindakan yang mengakibatkan kemudaratan tidak wajar dipatuhi," kata Mufti Perlis itu hari ini (23 Jun).

Mengulas mengenai wabak difteria, Ustaz Mohd Asri menasihatkan golongan yang antivaksin supaya bercakap berdasarkan fakta dan ilmu bukan sekadar membuat andaian sendiri bahawa penggunaan vaksin memberi kesan sampingan.

"Jika mereka (antivaksin) ada alternatif lebih baik untuk mengatasi sesuatu penyakit tidak mengapa tetapi yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Tanpa vaksin lebih memudaratkan kecuali mereka boleh membuktikannya," tambahnya.

Menurut beliau hukum penggunaan vaksin yang mengandungi bahan tidak bersih atau dari sumber bersifat najis (seperti babi) adalah diharuskan dan dibenarkan dalam Islam sekiranya tiada kaedah lain.

Semalam (22 Jun) laman Harian Metro melaporkan dua kanak-kanak meninggal dunia dan disyaki akibat jangkitan difteria.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah kanak-kanak yang meninggal dunia itu kedua-duanya tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan maut disebabkan komplikasi jangkitan.

Dua adik beradik salah seorang mangsa didapati positif jangkitan difteria namun setelah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut, kedua-duanya kini berada dalam keadaan baik, lapor Harian Metro.

Sumber : Bernama/agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan