Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mufti Perak sokong penerapan tulisan Jawi dan khat dalam buku teks sekolah

Bahasa Melayu dan tulisan jawi termasuk khat ibarat aur dengan tebing yang tidak boleh dipisahkan berdasarkan sejarah Tanah Melayu, kata Mufti Perak Dr Harussani Zakaria.

Anggaran Waktu Membaca:
Mufti Perak sokong penerapan tulisan Jawi dan khat dalam buku teks sekolah

Dr Harussani Zakaria. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 06 Aug 2019 08:53PM Dikemas Kini : 06 Aug 2019 08:58PM

IPOH: Bahasa Melayu dan tulisan jawi termasuk khat ibarat aur dengan tebing yang tidak boleh dipisahkan berdasarkan sejarah Tanah Melayu, kata Mufti Perak Dr Harussani Zakaria.

Beliau berkata menggalakkan pengenalan dan penggunaan tulisan jawi serta khat merupakan sesuatu yang harus disokong oleh semua pihak kerana kekuatan sesebuah tamadun adalah menghayati sejarah silam. 

Sejarah katanya membuktikan bahawa para pegawai dan pembesar British pada masa lampau berhubung dengan Raja-Raja serta pembesar Melayu menulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi. 

"Cadangan penerapan tulisan jawi dan khat itu bukanlah sesuatu yang asing dalam sesebuah negara kerana Turki sebagai contoh kini memperkenalkan semula bahasa mereka menggunakan tulisan asalnya bagi memelihara sejarah dan warisan kepada rakyat terutama generasi muda. 

"Begitu juga Korea dan Jepun menetapkan setiap rakyat yang ingin memasuki universiti lulus bahasa mereka dengan tulisan mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Dr Harussani mengatakan demikian sebagai mengulas pengumuman Timbalan Menteri Pendidikan, Cik Teo Nie Ching baru-baru ini mengenai penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Keputusan tersebut turut membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

Menurut Dr Harussani, cadangan itu juga seiring dengan saranan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah agar tulisan jawi dipertahankan sebagai warisan negara ketika merasmikan Anugerah Bisnes Utusan di Kuala Lumpur pada 2015.

Tambah beliau, tuduhan seseorang pelajar memeluk agama Islam disebabkan mempelajari seni khat atau tulisan jawi seseorang pelajar adalah tidak benar. 

"Tulisan jawi dan bahasa Melayu telah dipelajari oleh pelbagai bangsa di negara ini yang telah secara nyata menzahirkan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia," katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan