Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

MUDA lancar kempen 'Dakwa Zahid' susuli keputusan mahkamah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Parti politik Malaysia MUDA melancarkan kempen Dakwa Zahid bermula Selasa (5 Sep) yang bakal digerakkan para ahli jentera parti berkenaan di seluruh Malaysia.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agung MUDA Amir Hadi dalam satu sidang media hari ini.

Langkah itu diambil menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi Malaysia yang melepaskan tanpa dibebaskan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi bagi 47 tuduhan yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Encik Amir menambah di bawah kempen itu, MUDA mendesak agar tiga perkara utama dapat dihuraikan Pejabat Peguam Negara Malaysia dalam tempoh masa yang dianggap sesuai.

MUDA DESAK 3 PERKARA DIHURAIKAN

Perkara pertama, kata beliau, adalah bagi pihak Pejabat Peguam Negara Malaysia memberikan garis masa yang nyata bila Encik Ahmad Zahid akan didakwa semula.

Dalam sidang media tersebut, para ahli jawatankuasa eksekutif pusat MUDA menyatakan keguguran kes tersebut adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana prosiding sudah masuk peringkat pembelaan.

Ini bermakna ada prima facie yang sesuai untuk Presiden UMNO itu dikenakan dakwaan di mahkamah.

Malah, 14 saksi pihak pembela sudah memberikan keterangan di mahkamah sebelum ini dengan lagi 17 saksi bakal memberikan keterangan mereka.

Encik Amir berkata perkara kedua adalah untuk memastikan kes-kes sedemikian yang berkaitan ahli politik tidak akan lagi digugurkan pada masa depan.

Beliau merujuk kepada kes rasuah melibatkan Presiden MUDA sendiri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mana Syed Saddiq tidak langsung meminta agar kes itu digugurkan.

Encik Amir menambah bahawa perkara berkenaan penting agar kes Yayasan Akalbudi tersebut tidak menjadi rujukan kepada kes-kes masa depan.

Perkara ketiga yang dikongsikan MUDA adalah untuk mendesak para Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan yang lain untuk mengeluarkan kenyataan mereka tentang kes tersebut.

Jika ketiga-tiga perkara itu tidak dilakukan pada tempoh masa sesuai, Encik Amir menekankan kempen Dakwa Zahid bakal meliputi langkah seperti tunjuk perasaan di jalanan.

TIDAK TERAGAK-AGAK UNTUK KELUAR DARIPADA KERAJAAN PERPADUAN: SYED SADDIQ

Semasa sidang media itu, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga ditanya adakah ini bermakna beliau akan keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

"Perkara ini adalah salah satu garisan merah yang sudah dilampaui dan MUDA tidak akan teragak-agak untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika tiga perkara yang didesak itu tidak dihuraikan dengan segera," tegas beliau.

Encik Syed Saddiq menambah bahawa penyertaan MUDA dalam Kerajaan Perpaduan sebelum ini adalah berdasarkan persetujuan terhadap dasar-dasar reformasi serta naratif antirasuah yang diperjuangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bermaksud pihak pendakwa raya boleh mengenakan semula dakwaan bagi tuduhan-tuduhan yang sama ke atas Encik Ahmad Zahid pada masa depan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Moktar menggariskan 11 sebab bagi keputusan berkenaan termasuk untuk memberi laluan siasatan menyeluruh dapat dijalankan pihak berkuasa.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan