Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muar kembali dilanda banjir, jumlah mangsa di tiga negeri menurun

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Daerah Muar di Johor kembali dilanda banjir dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, sementara jumlah mangsa di tiga negeri yang terjejas akibat bencana itu menurun setakat pukul 3.00 petang pada Sabtu (28 Jan).

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan situasi terkini itu, menjadikan tujuh daerah di negeri berkenaan kini terjejas banjir iaitu Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Segamat, Tangkak dan Muar.

Namun, jumlah mangsa di PPS menunjukkan penurunan kepada 2,464 orang setakat 2 petang, berbanding 3,480 orang pada 8.00 pagi tadi, susulan penutupan tujuh PPS iaitu satu di Segamat dan enam di Mersing, menjadikan sejumlah 29 PPS yang masih beroperasi setakat ini.

Jumlah mangsa di Mersing juga menurun kepada 796 orang, diikuti Kluang (735), Kota Tinggi (416), Batu Pahat (387), Segamat (115) dan Tangkak (15).

Selain itu, hanya satu sungai di negeri ini yang melepasi paras bahaya iaitu Sungai Endau, Mersing dengan bacaan 2.62 meter.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di Rompin menunjukkan penurunan petang ini selepas PPS Bukit Lepas ditutup 10 pagi tadi, menjadikan mangsa terkini yang berada di tiga PPS ialah 314 orang daripada 96 keluarga berbanding 353 orang daripada 106 pagi tadi.

Sekreteriat JBPN melaporkan tiga PPS yang masih beroperasi ialah Kampung Setajam menempatkan 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122 mangsa) dan PPS Kampung Denai (27 mangsa).

Di Sabah, jumlah mangsa banjir turun mendadak kepada 2,639 orang daripada 927 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS berbanding 10,347 orang daripada 3,569 di 34 PPS pagi tadi.

Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan 12 PPS di Kota Marudu ditutup pada 2 petang tadi manakala dua PPS ditutup pukul 12.00 tengah hari dan satu PPS di Tawau.

Menurut kenyataan itu, semua pusat pemindahan di daerah Kota Marudu ditutup pada 2 petang selepas mendapati keadaan pulih sepenuhnya. Semua mangsa yang terjejas dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Dalam pada itu, daerah Lahad Datu menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa, manakala di Pitas menunjukkan penurunan jumlah mangsa sementara di Paitan kekal setakat ini.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan