M'sia yakin raih pertumbuhan positif; berupaya elak kemelesetan tahun ini

(Gambar: BERNAMA)
GEORGE TOWN: Malaysia yakin untuk mencapai pertumbuhan positif dan mengelakkan kemelesetan pada tahun ini walaupun perlu berdepan dengan cabaran global, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Walaupun pertumbuhan ekonomi negara tersebut pada tahun ini diunjurkan sederhana berbanding 2022, Tengku Zafrul berkata, beliau optimis bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan.
“Definisi kemelesetan ialah pertumbuhan negatif Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) bagi dua suku berturut-turut. Bank Negara Malaysia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)dan Bank Dunia telah mengunjurkan Malaysia untuk terus meraih pertumbuhan ekonomi positif dalam julat tiga hingga lima peratus.
“Saya tidak fikir kita akan mengalami kemelesetan. Bagaimanapun, berbanding pertumbuhan yang telah kita capai pada 2022, akan terdapat sedikit kesederhanaan.
“Sehubungan itu, kita perlu merebut peluang ini untuk memastikan semua enjin pertumbuhan kita kekal aktif terutamanya dari segi perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada Bernama semasa lawatannya ke Pulau Pinang baru-baru ini.
Pada 2022, jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion (S$621 bilion) untuk tahun kedua berturut-turut iaitu RM2.8 trilion (S$870 bilion), dengan eksport mencapai RM1.6 trilion (S$497 bilion), melebihi unjuran Rancangan Malaysia Ke-12 manakala import mencecah hampir RM1.3 trilion (S$404 bilion).
Dalam lawatannya ke Pulau Pinang dari 3 hingga 4 Februari, Tengku Zafrul berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi negeri dan peserta industi untuk membincangkan usaha mengukuhkan ekosistem perindustrian di negeri itu berikutan Pulau Pinang adalah antara destinasi pelaburan utama sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan teknologi perubatan.
“Kita perlu menarik pelaburan berkualiti tinggi yang berupaya menawarkan pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan negara. Kita juga mahu FDI (pelaburan langsung asing) ini dapat diterjemahkan kepada DDI (pelaburan langsung domestik).
“Sekiranya boleh, kita mahu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana yang boleh menawarkan perkhidmatan dan menjadi pembekal kepada syarikat berbilang negara yang beroperasi di sini.
“Pulau Pinang ialah contoh terbaik untuk tujuan ini memandangkan banyak syarikat multinasional yang bekerjasama dengan syarikat kecil sehingga syarikat-syarikat ini dapat berkembang dan disenaraikan di bursa saham,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.