M'sia umum sekatan di tengah lonjakan kes COVID-19 China; semua pelawat perlu jalani pemeriksaan suhu badan
PUTRAJAYA: Semua pelawat yang tiba dari luar negara termasuk China di pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia perlu melalui saringan demam, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata pelawat yang dikesan demam, bergejala atau pengisytiharan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.
“Sekiranya disyaki COVID-19, ujian COVID-19 akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat (30 Dis).
Menurut beliau, langkah itu antara empat strategi utama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian akibat pandemik COVID-19 di Malaysia. Ini juga dilaksanakan menyusuli perubahan dasar pengurusan COVID-19 di China.
China mengumumkan pelonggaran pengurusan COVID-19 pada 8 Januari dan Suruhanjaya Kesihatan Nasional (NHC) memaklumkan Beijing tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu.
Keputusan berkenaan dibuat ketika China berdepan peningkatan kes jangkitan yang membimbangkan, sementara jumlah kematian dilaporkan turut meningkat.
Pada masa sama, Dr Zaliha berkata langkah pemantauan di PMA juga akan diperkukuh dengan pengambilan sampel air kumbahan pesawat dari China.
“Sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19,” katanya.
Bagi mengesan sebarang varian baru pula, semua kes penyakit, seperti influenza (ILI) serta Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI), yang mendapatkan perkhidmatan di kemudahan kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke China atau kontak dengan individu dari China dalam tempoh 14 hari perlu melalui ujian pantas antigen (ART).
Beliau berkata hasil ujian ART COVID-19 itu akan dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.
Dr Zaliha berkata KKM turut melindungi masyarakat melalui pemberian vaksin termasuk kumpulan rentan dan berisiko tinggi dengan menawarkan pemberian vaksin secara jumpa terus di kemudahan kesihatan KKM.
Beliau menambah, selain itu, KKM akan mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons sistem perkhidmatan kesihatan awam melalui pengukuhan pengurusan COVID-19 menggunakan pendekatan 'Find, Test, Trace, Isolate, and Support' (FTTIS) yang diautomasikan.
Beliau berkata aktiviti dampingan dan pendidikan risiko berkaitan COVID-19 termasuk vaksinasi serta rawatan juga dipertingkat kepada semua lapisan masyarakat.
Dr Zaliha turut memaklumkan pengisytiharan Malaysia sebagai Kawasan Tempatan Jangkitan yang akan tamat pada Sabtu (31 Dis) dilanjutkan hingga 30 Jun depan bagi memudahkan KKM menjalankan aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan COVID-19 menggunakan peruntukan di bawah P.U. (A) 83/2022.
“Pelanjutan ini telah diwartakan pada 27 Dis 2022 melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2022 (P.U. (A) 397/2022),” katanya.
P.U. (A) 83/2022 yang diwartakan pada 31 Mac lalu adalah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.