M'sia tidak mampu laksana sekatan pergerakan bagi bendung COVID-19
Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat sekiranya melaksanakan sekatan pergerakan untuk mengekang penularan COVID-19.

(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat sekiranya melaksanakan sekatan pergerakan untuk mengekang penularan COVID-19.
Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin, sebaliknya berkata strategi kerajaan untuk menyekat penularan wabak tersebut adalah dengan melaksanakan strategi mitigasi.
"Tidak dinafikan pendekatan China (melaksanakan lockdown) berkesan.
"Namun strategi mereka iaitu containment (pembendungan) atau 'zero COVID' bermaksud 'total lockdown' bila ada hanya tiga kes positif," kata Encik Khairy menerusi catatan di Twitter rasmi beliau pada Ahad (9 Jan)
Dalam catatan itu, Encik Khairy turut menyertakan petikan skrin laporan berita menyebut "Yuzhou : Second Chinese city forced into COVID lockdown" (Yuzhou : Bandar China kedua dikenakan sekatan pergerakan COVID).
Encik Khairy berkata Malaysia mengurus kes positif dengan berkesan apabila kadar vaksinasi tinggi, selain turut mengingatkan rakyat terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) agar kadar kematian, penggunaan unit rawatan rapi dan kemasukan ke hospital dapat dikurangkan.
Dalam pada itu, Encik Khairy berkata beliau memberi sokongan penuh kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk menjalankan tugas.
Kenyataan itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing mempersoalkan latar belakang Dr Noor Hisham sebagai pakar bedah dan bukan daripada bidang kepakaran kesihatan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.