M'sia tidak akan benarkan kuasa besar tentukan masa depannya: PM Anwar
Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju masa depannya, kata Perdana Menteri negara itu, Anwar Ibrahim.
(Gambar: Anwar Ibrahim/Facebook)
Tegas Encik Anwar, sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka, Malaysia akan mempertahankan kedaulatannya dan menentukan perkara yang terbaik untuk negara.
“Tiada siapa yang harus menentukan hala tuju kita, sebagai negara yang bebas dan merdeka, kita akan memutuskan apa yang terbaik untuk kita.
"Kita membuat keputusan berdasarkan nilai teras dan prinsip, iaitu untuk memastikan bahawa kita mempunyai tadbir urus yang baik dan dasar yang akan memberi manfaat kepada negara serta rakyat.
"Kita juga harus mengekalkan kedudukan ini dalam ASEAN, kerana ASEAN ditubuhkan sebagai zon bebas dan berkecuali," katanya menjawab soalan mengenai persaingan China-Amerika Syarikat (AS) semasa syarahan umum di Universiti Tsinghua yang merupakan universiti tersohor pada Jumaat (31 Mac).
Encik Anwar yang sedang dalam lawatan rasmi sulung ke China minggu ini berkata beliau dilihat sebagai pro-China tetapi sebagai negara perdagangan, beliau berkata Malaysia mahu membina hubungan baik dengan semua negara termasuk China dan Amerika Syarikat.
Menurutnya, Malaysia tidak melihat China sebagai pesaing mahupun ancaman walaupun mungkin terdapat beberapa perselisihan faham antara kedua-dua negara.
"Memandangkan tiada ancaman langsung dari China, kami gembira menjadi jiran yang baik, kawan dan mendapat manfaat daripada kejayaan mereka," katanya.
Encik Anwar berkata China dan Amerika Syarikat juga perlu memahami bahawa hubungan diplomasi antarabangsa yang dinamik hari ini telah berubah, dan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan menjejaskan seluruh dunia.
“Zaman penjajahan dan imperialisme baharu telah berlalu. Tiada negara boleh menentukan (sesiapa sahaja). Rakyat mahu menuntut kebebasan mereka dan memutuskan apa yang terbaik untuk diri dan negara mereka,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.