Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia, Thailand setuju tubuh jawatankuasa khas bincang HSR Bangkok-KL

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Malaysia dan Thailand bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bersama bagi membincangkan perkara terperinci mengenai perancangan, jajaran dan aspek teknikal lain berkaitan cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Bangkok-Kuala Lumpur.

Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong berkata jawatankuasa itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Thailand.

Awal dari itu, beliau yang berada di Singapura atas jemputan pemerintah negara itu, mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Saksayam Chidchob.

“Susulan daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob ke Thailand dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand pada Februari 2022, kami seperti mana yang diamanahkan oleh kedua-dua Perdana Menteri, buat kali pertama memulakan perbincangan tentang cadangan projek keretapi kelajuan tinggi (HSR) dari Bangkok ke Kuala Lumpur,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya pada Selasa (17 Mei).

Pada 26 Februari lalu, Malaysia dan Thailand dilaporkan telah bersetuju untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan jajaran HSR di antara Kuala Lumpur dengan Bangkok.

Encik Ismail Sabri berkata persetujuan tersebut adalah hasil pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha di Rumah Kerajaan di Bangkok semasa lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu.

Dalam catatan yang sama, Encik Wee turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Saksayam atas kerjasama Thailand dalam melaksanakan Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) antara kedua-dua negara pada pertengahan Mac 2022 walaupun untuk tempoh singkat sebelum sempadan Malaysia dibuka semula mulai 1 April, 2022.

“Malaysia dan Thailand akan terus berkerjasama untuk memulihkan sektor penerbangan,” katanya.

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan