Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia tetapkan RM9.40/kg harga siling baru ayam mulai 1 Jul

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Kerajaan pada Rabu (29 Jun) memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam tetapi meneruskan subsidi dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 (S$2.96) sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai Jumaat ini (1 Jul).

Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu (29 Jun) bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada harga 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee berkata dengan pelaksanaan subsidi ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta (S$116.5 juta), menjadikan jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM1.1 bilion (S$346 juta) sejak 5 Februari lalu.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur untuk Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard pada harga RM8.90 (S$2.80) sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 (S$3.10) sekilogram.
Harga maksimum telur ayam gred A sebelum ini ditetapkan pada 43 sen sebiji, telur ayam gred B pada 41 sen sebiji dan telur ayam gred C pada 39 sen sebiji.

Encik Ronald berkata keputusan itu mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 (S$158) kepada golongan B40 dan sebahagian golongan M40.

Menurutnya lagi, seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 (S$819) tahun ini.

Bantuan itu merupakan bantuan tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

Encik Ronald berkata isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia saja, sebaliknya merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

"Namun, kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup," katanya dalam kenyataan tersebut.

Jumaat lalu, Encik Ismail Sabri mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan