Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia tegas kekang jualan petrol RON95, diesel bersubsidi kepada warga asing

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) memandang serius terhadap penjualan petrol RON95 dan diesel bersubsidi kepada kenderaan bukan milik warga negara itu, menurut laporan Harian Metro. 

Ketua Setiausahanya Azman Mohd Yusof berkata, dasar mengenai penggunaan petrol RON95 dan diesel adalah jelas kerana ia membabitkan subsidi dan tidak boleh digunakan kenderaan bernombor pendaftaran asing.

"Kenderaan asing yang menggunakan RON95 dan diesel bersubsidi boleh diambil tindakan mengikut peraturan undang-undang sedia ada termasuk syarikat pembekal minyak.

"Dengan kekuatan seramai 2,200 anggota dan pegawai penguat kuasa amat sukar kawalan dilakukan di setiap stesen minyak di seluruh negara," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Plak dan Sijil Penghargaan Rakan Strategik Inisiatif Teknologi Pembungkusan Secara Retort serta Penyampaian Sumbangan Makanan Retort Program Food Bank Malaysia pada Ahad (17 Sep). 

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Menurutnya lagi, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama agensi penguatkuasaan lain dalam usaha mengekang aktiviti salah guna petrol dan diesel subsidi oleh kenderaan asing dan aktiviti penyeludupan.

Katanya selanjutnya, KPDNHEP kini dalam proses untuk menggunakan teknologi atau kaedah bersesuaian dalam mengekang aktiviti berkenaan.

"Antaranya rekod simpanan dan jualan yang lebih teliti, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) oleh KPDNHEP di stesen minyak tertentu, penyamaran, perkongsian maklumat antara penduduk setempat dan sebagainya.

"Kita bukan sekadar memberi amaran, malah mengambil tindakan menyiasat setiap aduan yang berlaku sebelum tindakan undang-undang diambil," katanya kepada Harian Metro. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan