Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia tambah dua mesin pengimbas laluan pejalan kaki di CIQ Johor Bahru

Kerajaan Malaysia akan menambah dua mesin pengimbas bagi laluan pejalan kaki di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi menangani kesesakan di Tambak Johor, mulai Jun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Kerajaan Malaysia akan menambah dua mesin pengimbas bagi laluan pejalan kaki di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi menangani kesesakan di Tambak Johor, mulai Jun depan.

Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan berkata tindakan itu merupakan antara langkah penyelesaian jangka masa pendek untuk mengatasi kesesakan memandangkan kini hanya sebuah mesin pengimbas disediakan di kompleks berkenaan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga menambah laluan lori tanpa muatan kepada dua lorong berbanding hanya satu lorong sebelum ini.

"Kunjungan saya hari ini berkaitan dengan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu tindakan diambil untuk mengatasi kesesakan di CIQ BSI ini.

"Penambahan lorong lori tanpa muatan dan mesin pengimbas ini adalah melibatkan kos berjumlah kira-kira RM1 juta," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di CIQ BSI hari ini (6 Feb). 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Sementara itu, Encik Ahmad berkata pihaknya akan mengkaji permintaan kerajaan negeri Johor untuk menambah lorong motosikal sedia ada di kompleks berkenaan daripada 50 lorong kepada 75 lorong.

"Permohonan ini dilihat wajar dan mampu dilaksana tanpa melibatkan kos perbelanjaan besar kerana ia tidak membabitkan pembinaan struktur bangunan baru sebaliknya hanya ubahsuai kaunter Jabatan Imigresen sedia ada.

"Untuk tujuan tersebut, kita jangka ia akan menelan kos sebanyak RM2.57 juta (S$856,031) untuk dilaksana, tetapi ini masih di peringkat perbincangan, belum diputuskan lagi," katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan