M'sia-SG boleh anjur bersama resolusi keamanan di PBB

(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Dua negara berjiran yang sama-sama harmoni dalam kepelbagaian masyarakatnya wajar bersama dalam menganjurkan projek keamanan di pentas dunia.
Zamil Kanan Institut Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun berpendapat, Malaysia dan Singapura boleh menganjurkan resolusi yang mempromosi keharmonian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya lagi, keakraban Malaysia dengan Singapura, walaupun terdapat beberapa pertikaian, adalah sesuatu yang jarang berlaku di dunia.
Ia ketika kebanyakan negara di dunia, khususnya di Eropah, hubungan sering tegang dengan negara-negara jirannya.
“Malaysia dan Singapura merupakan negara yang mempunyai kepelbagaian agama, kaum dan diplomasi antarabangsa, kita boleh mengambil posisi yang lebih kurang sama.
"Dan, mungkin boleh mengemukakan projek-projek bersama untuk memupuk semangat harmoni di pentas dunia.
“Ini lebih meyakinkan dunia kerana ia bukan dikemukakan oleh sebuah negara sahaja, tetapi dua negara yang berjiran,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin (30 Jan).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebangkitan ‘Islamophobia’ di Eropah menyusuli insiden pembakaran Al-Quran di Stockholm, Sweden baru-baru ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan sehari ke Singapura semalam.
Antara yang turut serta dalam lawatan rasmi pertama Encik Anwar ke Singapura selepas menyandang jawatan Perdana Menteri adalah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.