M'sia, SG bincang hala tuju perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital

(Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura hari ini (4 Feb) mengadakan perbincangan hala tuju kerjasama dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital menyusuli pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai perkara itu pada 30 Jan lalu.
MoU berkenaan ditandatangani semasa lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Singapura pada Isnin lalu.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam kenyataannya hari ini berkata MoU yang memperbaharui kerjasama antara Malaysia dan Singapura itu menyediakan platform kepada agensi-agensi di kedua-dua negara untuk memulakan kerjasama yang lebih mendalam dalam tiga bidang berkenaan.
“Antara kerjasama yang dirangka adalah perkongsian maklumat dan kepakaran serta amalan terbaik antara Malaysia dan Singapura dalam menangani isu penipuan dalam talian (online scam) secara lebih berkesan dan mengoptimumkan penggunaan data sebagai sumber komoditi yang berharga dalam pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.
Encik Fahmi berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura Josephine Teo di Putrajaya.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia Vanu Gopala Menon, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Mohammad Mentek dan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura Joseph Leong.
Sementara itu, Encik Fahmi turut mengalu-alukan kesudian rakan sejawatannya dari Singapura serta delegasi untuk menghadiri konsert Muzika Ekstravaganza yang dihoskan oleh Malaysia pada malam ini.
Konsert anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan saluran Suria Mediacorp merupakan konsert kali ke-14 yang bermatlamat menaikkan taraf industri muzik kedua-dua negara menerusi pertukaran kepakaran dan pengalaman serta penggunaan teknologi, selain memberi pendedahan kepada budaya kerja antara kedua-dua stesen penyiar itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.