M'sia sertai prosiding nahas pesawat MH17
Pasukan hakim mengunjungi lokasi rangka pesawat MH17 yang dibina semula dengan kerangka wayar di pangkalan tentera udara Gilze-Rijen di Belanda. (Gambar: Peter Dejong/POOL/AFP)
PUTRAJAYA: Malaysia akan mengambil bahagian dalam prosiding melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), selaras dengan Konvensyen Chicago menyusuli tindakan undang-undang bersama yang dimulakan oleh pemerintah Australia dan Belanda berikutan nahas pesawat MH17 Malaysia Airlines (MAS) yang ditembak jatuh.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini(16 Mac), kerajaan Malaysia mengulangi komitmennya terhadap proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang-undang antarabangsa terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi MH17 pada 2014.
“Kerajaan Malaysia komited untuk menuntut keadilan bagi keluarga mangsa nahas termasuk 43 rakyat Malaysia yang menaiki pesawat itu,” menurut kenyataan tersebut.
Pesawat MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 apabila ia ditembak jatuh di utara Ukraine, mengorbankan 298 orang di dalam pesawat malang itu.
Australia dan Belanda dilaporkan sudah memulakan tindakan undang-undang bersama terhadap Rusia melalui ICAO berikutan tragedi MH17 yang ditembak jatuh.
Tindakan undang-undang oleh kedua-dua negara tersebut difailkan menerusi ICAO di bawah Artikel 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.
Justeru, Malaysia menggesa semua negara dan pihak yang terlibat memberi kerjasama sepenuhnya terhadap perbicaraan itu, selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014).
“Proses undang-undang yang menyeluruh harus diteruskan dalam usaha mengheret pelaku jenayah tidak berperikemanusiaan ini ke muka pengadilan demi membela mangsa nahas MH17 dan keluarga mereka,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurut MOT, Malaysia komited untuk memastikan proses perundangan berjalan dengan telus, diyakini dan konklusif.
“Pendekatan Malaysia kekal bahawa segala kesimpulan mestilah dibuat berdasarkan bukti kukuh,” menurut kenyataan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.