Skip to main content

Dunia

M'sia semak tatacara urus jenazah COVID-19; jenazah Islam boleh dimandi, dikafankan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan bahawa tatacara pengurusan jenazah Islam yang dijangkiti COVID-19 dibenarkan untuk dimandi dan dikafankan dengan amalan langkah berjaga-jaga, kata menterinya, Encik Khairy Jamaluddin.++

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia semak tatacara urus jenazah COVID-19; jenazah Islam boleh dimandi, dikafankan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Jul 2022 07:44AM
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan bahawa tatacara pengurusan jenazah Islam yang dijangkiti COVID-19 dibenarkan untuk dimandi dan dikafankan dengan amalan langkah berjaga-jaga, kata menterinya, Encik Khairy Jamaluddin.

Encik Khairy berkata urusan mandi dan kafan akan dilakukan oleh pengendali jenazah yang terlatih di hospital dengan pemakaian peralatan pelindungan peribadi (PPE) lengkap dan bersesuaian serta mengelakkan aktiviti yang berunsur prosedur penjanaan aerosol (AGP).

Beliau berkata selain itu, hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dibenarkan membantu dalam urusan memandikan dan mengafankan jenazah di hospital.

“KKM ingin memaklumkan tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti COVID-19 disemak semula agar ia relevan dengan situasi semasa.

“Semakan semula ini juga adalah sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021,”  katanya dalam kenyataan pada Rabu (29 Jun).

Sebelum ini, KKM menetapkan tatacara pengendalian jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam hanya melakukan proses tayamum di atas permukaan paling luar beg jenazah tanpa perlu dimandikan dan diuruskan sepenuhnya di hospital dengan tiada pelibatan waris.

Sementara itu, bagi pengurusan mayat bukan Islam yang dijangkiti COVID-19, Encik Khairy berkata sekiranya prosedur 'last rite' atau upacara terakhir memerlukan penukaran pakaian baru, pakaian tersebut boleh diletakkan di atas badan mayat tanpa prosedur AGP dan hanya dua waris lengkap divaksin dibenarkan untuk menyertai urusan itu.

Selain itu, turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah atau mayat yang dijangkiti COVID-19 berbanding sebelum ini yang perlu menggunakan dua beg mayat.

Menurut Encik Khairy, KKM tidak menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat dalam upacara pengebumian jenazah tetapi perlu memakai PPE.

“KKM juga tidak menetapkan jumlah individu yang hadir ke upacara itu, namun perlu memakai pelitup muka dan elakkan dari bersesak-sesak,” katanya.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita